Tuesday, April 5, 2011

APMM Tahan Lapan Nelayan Asing

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot asing bersama lapan nelayan yang menangkap ikan secara haram berhampiran pelantar Malong, Kuantan kelmarin.

Kehadiran bot yang mencurigakan itu dikesan kira-kira pukul 10.35 pagi oleh Kapal Maritim Lang kira-kira 74 batu nautika dari perairan Kuantan.

Kesemua nelayan itu sedang menangkap ikan berdasarkan penemuan 50 kilogram ikan pelbagai jenis di dalam sebuah tong.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kuantan, Kapten Maritim Abdul Aziz Idrus berkata, lapan nelayan Thailand itu berusia 22 hingga 45 tahun.

Menurut Abdul Aziz lagi, APMM turut merampas 1,600 liter minyak diesel selain merampas satu unit enjin, generator, kompas dan pelbagai peralatan menangkap ikan.

Bot berkenaan dibawa ke Pusat Tahanan Vessel Maritim Malaysia di Jeti Geliga Slipway, di Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah memberi alasan bot terkandas, namun pemeriksaan lanjut mendapati mereka sebenarnya sedang menaikkan pukat,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, mereka kini ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 sebelum dirujuk kepada pihak Imigresen atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

No comments:

Post a Comment