Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyita empat unit kediaman yang dijadikan premis sarang burung walet di Perumahan Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu semalam.
Operasi selama tiga jam bermula pukul 11 pagi melibatkan 50 anggota itu dijalankan hasil aduan orang ramai tentang kegiatan haram berkenaan yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kawalan Bangungan MBKT, Zakaria Abdullah berkata, ia merupakan sebahagian daripada 14 unit kediaman yang dikenal pasti digunakan untuk tujuan itu sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.
Katanya, mereka telah diberi notis peringatan agar merobohkan kembali ubah suai haram yang telah dilakukan sebelum MBKT mengambil tindakan dalam tempoh 14 hari. “Untuk permulaan, empat unit telah disita manakala 10 buah lagi akan disita dalam masa terdeka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Sehubungan itu, kata beliau, mereka terlibat telah diminta mengubah suai kembali rumah tersebut sebagai tempat kediaman untuk mengelak dikenakan tindakan.
Dalam pada itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Maimunah, 45, mengaku bahawa sejak kegiatan tersebut dijalankan beberapa tahun dahulu, penduduk tinggal dalam keadaan tidak selesa.
Katanya, ia ekoran bunyi bising setiap hari yang dikeluarkan oleh sistem pembesar suara bagi menarik burung tersebut bersarang menyebabkan pencemaran kawasan sekitar. Tambahnya, selain itu, najis haiwan berkenaan turut memenuhi bumbung dan ruangan pejalan kaki di perumahan itu setiap hari.
“Keadaan ini telah berlarutan sejak beberapa tahun biar pun telah beberapa kali aduan dibuat,” ujarnya
No comments:
Post a Comment