Atlet Formula Future di bawah bimbingan Persatuan Sukan Air Negeri Terengganu kini giat menjalani latihan sebagai persediaan ke Program Klinik dan Pemilihan Wakil Formula Future Terengganu di Kuala Lumpur yang dijadualkan 5 Mei ini.
Seramai 25 atlet akan dihantar ke program berkenaan, namun, hanya 10 peserta terbaik akan dipilih untuk membawa bendera Terengganu nanti.
Jurulatih, Khairul Azlan Mohd berkata, bagi memantapkan stamina dan aksi terbaik, kesemua atlet kini menjalani latihan setiap hari di Lagun Kuala Ibai, di sini.
“Jika sebelum ini, atlet hanya menjalani latihan dua kali seminggu, namun untuk memantapkan lagi persembahan, kita meningkatkan latihan dengan mengadakannya setiap hari.
“Sehubungan itu, saya berharap agar atlet akan membuat yang terbaik bukan sahaja untuk mengharumkan nama Terengganu, tetapi juga nama negara,” katanya.
Menurutnya, sukan Formula Future Terengganu berjaya melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang pada peringkat kebangsaan, malah turut dikenali peringkat dunia.
“Malah, atlet yang menjalani latihan untuk persediaan itu (klinik dan pemilihan) juga sangat membanggakan hingga menyukarkan kami di peringkat pengurusan untuk membuat pilihan memandangkan kesemuanya menunjukkan prestasi membanggakan,” katanya
No comments:
Post a Comment