Friday, April 22, 2011

Takaful Ikhlas Sedia Hadiah RM200,000 Bagi Kempen IKHLAS Rumah Impianku

Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Kempen IKHLAS Rumah Impianku sempena pembukaan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Ipoh. Foto: Ihsan Takaful Ikhlas.

Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), syarikat penyedia perkhidmatan dan produk takaful, menawarkan hadiah sehingga RM200,000 sempena pelancaran Kempen IKHLAS Rumah Impianku.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata Kempen IKHLAS Rumah Impianku ini adalah kerjasama Takaful IKHLAS dan Majalah Anjung Seri.

"Kerjasama pintar ini meliputi penyediaan pakar hiasan dalaman Anjung Seri untuk mereka ruang kediaman rumah impian pemenang Cabutan Bonanza," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.

Syed Moheeb berkata hadiah cabutan bertuah bagi Kempen IKHLAS Rumah Impianku ini berjumlah RM200,000, yang menawarkan hadiah utama pakej pengubahsuaian ruang kediaman serta barangan kelengkapan rumah dengan sentuhan idea rekaan pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah dan suaminya yang bernilai RM60,000 untuk seorang pemenang.

"Takaful Ikhlas memahami keadaan yang dialami setiap kakitangan kerajaan apabila hendak mengubah suai rumah dan perbelanjaan besar yang dihadapi ketika pengubahsuaian rumah tersebut."

"Dengan itu, Kempen IKHLAS Rumah Impianku ini memberi peluang kepada mereka untuk mengubah suai rumah menggunakan kepakaran pereka hiasan dalaman yang terkemuka serta dapat menambah baik bilik atau kawasan tertentu rumah dan pengunaan barang-barang elektrik dan perabot bermutu," kata Syed Moheeb.

Selain itu, terdapat juga hadiah sampingan bagi 10 orang pemenang yang bernilai RM5,000 manakala hadiah cabutan bulanan bernilai RM5,000 akan diberikan kepada lima pemenang bertuah.

Syed Moheeb menjelaskan bahawa Kempen IKHLAS Rumah Impianku ini dikhaskan untuk kakitangan kerajaan dan mereka yang memilih Takaful IKHLAS sebagai penyedia perlindungan takaful perumahan bagi pinjaman yang diluluskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dari 1 April, 2011 hingga 30 September, 2011.

"Kempen IKHLAS Rumah Impianku adalah kesinambungan usaha untuk menggalakkan kakitangan kerajaan yang mengambil pinjaman dengan BPP untuk memilih perkhidmatan Takaful IKHLAS sebagai syarikat takaful untuk melindungi pinjaman hartanah mereka," katanya.

Kempen itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena pembukaan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Ipoh, semalam.

Takaful IKHLAS menjadi panel BPP sejak 2006. BPP merupakan badan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggung jawab mengendalikan pinjaman perumahan kepada warga kerja sektor awam.

Sebelum melancarkan kempen itu, Syed Moheeb berkata Takaful IKHLAS telah memperkenalkan kadar terendah kepada kakitangan awam. "Ini merupakan inisiatif kami agar setiap kakitangan kerajaan dapat menikmati perlindungan pinjaman yang terbaik di pasaran."

"Takaful IKHLAS merupakan pilihan yang unggul kepada warga kerja kerajaan

Malaysia bagi pembiayaan perumahan kerana kadar yang lebih kompetitif dan perlindungan yang komprehensif," katanya.

Syed Moheeb menjelaskan bahawa pelbagai kemudahan disediakan untuk memudahkan warga kerja kerajaan berurusan dengan lebih cepat antaranya pusat perkhidmatan setempat di Putrajaya dan membina laman sesawang yang interaktif serta mesra pengguna.

Bagi kakitangan awam yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Rumah Impianku ini mereka boleh melayari www.takaful-ikhlas.com.my.

Takaful IKHLAS sentiasa menekankan faktor kepuasan pelanggan dan memenangi pelbagai anugerah untuk perkhidmatan produk yang ditawarkan semenjak Syarikat mula beroperasi pada 2003.

Sehingga hari ini, Takaful IKHLAS, yang menawarkan rangkaian produk keluarga dan am yang komprehensif, mempunyai lebih 1.7 juta pemegang sijil (polisi) berdaftar.

Syarikat takaful yang beriltizam untuk menjadi penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan berlandaskan Syariah yang terpilih ini juga mempunyai lebih 7,000 orang ejen yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan dan penerangan mengenai keperluan takaful masyarakat di seluruh Malaysia.

Takaful IKHLAS, yang mula beroperasi pada Julai 2003, merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS mempunyai pusat perkhidmatan pelanggan di Pejabat Korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

No comments:

Post a Comment