Thursday, April 14, 2011

Bank Rakyat Sasar Buka Enam Lagi Cawangan Ar-Rahnu Tahun Ini

Baharom (kiri) menyerahkan replika cek wang zakat perniagaan Bank Rakyat. - Gambar Harith Fadzilah.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyasarkan untuk membukan enam lagi cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara pada tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan, Baharom Embi berkata antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk pembukaan cawangan baru itu ialah Muar, Johor; Alor Setar, Kedah; dan Melaka.

"Berdasarkan sambutan yang menggalakkan yang ditunjukkan oleh pelanggan, kita telah meluluskan pembukaan enam cawangan baru Ar-Rahnu pada tahun ini dengan empat kawasan yang telah dikenal pasti dan dua lagi kawasan yang akan diputuskan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis penyerahan wang zakat perniagaan Bank Rakyat 2010 untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Cek berjumlah RM1.057 juta itu diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di Wisma Darul Iman petang semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Baharom berkata, untuk menampung permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan itu, Bank Rakyat juga merancang untuk menambah lima lagi cawangan perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change pada tahun ini.

Katanya, perkhidmatan Ar-Rahnu merupakan produk yang ke-empat paling mendapat sambutan dalam perkhidmatan Bank Rakyat dan di perkhidmatan itu mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu.

"Dengan adanya perkhidmatan Ar-Rahnu ini, kita dapat membantu memberikan pembiayaan pinjaman kepada golongan miskin sekaligus mengelak kebergantungan terhadap ceti haram atau "Ah'long" kerana ia merupakan penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi," katanya.

No comments:

Post a Comment