Saturday, April 30, 2011

Berakhirnya Musim Keliru di terengganu

"Musim keliru kini sudah berakhir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pengesahan yang tegas dengan mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada Januari lalu. Soal sama ada mereka yang menjadi wakil-wakil rakyat kini akan terus menjadi calon terserah kepada pucuk pimpinan berasaskan penilaian siapa yang paling baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa kemenangan."

Oleh Wan Zulkifli Wan Yaakob (Utusan Malaysia, 29 April 2011)

BAGI yang sering menyorot suasana politik UMNO di Terengganu, landskapnya mungkin boleh dianggap makin menenangkan apabila ia turut diberi warna makin menarik.

Mutakhir ini ia turut diwarnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Alor Limbat, Alias Abdullah melalui pernyataan pendirian dan sikapnya yang dianggap agak mengejut.

Bagi pembangkang, orang seperti Alias awalnya dapat membantu memberi saham meyakinkan ke arah kemenangan dalam pilihan raya umum setelah maruah diinjak rakyat selepas sekadar sepenggal memerintah.

Ada juga kalangan dalam parti UMNO pula berharap sebilangan wakil rakyat yang dilihat jelas tidak sebulu dengan kepemimpinan negeri diganti kerana mereka juga sedang mempersiapkan diri.

Apa sebenarnya yang mengejutkan itu? Ia adalah tentang ucapan Alias secara terbuka pada majlis pengukuhan parti di hadapan pimpinan bahagian dan negeri baru-baru ini selepas tiga tahun Datuk Seri Ahmad Said menerajui negeri.

Bagi Alias, UMNO Terengganu sebenarnya sudah pulih dan semua wakil rakyat berdiri teguh menyokong Ahmad selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Alias turut dipetik sebagai berkata,‘‘sebenarnya musuh tidak kuat, yang membuat kita tewas ialah bila kita tidak bersatu, kita masuk dalam keadaan kepala berdarah dan sudah lemah kerana bergaduh sesama sendiri, maka sukarlah untuk menang berdepan lawan sebenar.”

Alias selama ini dianggap antara yang paling lantang mengkritik, mempersoalkan malah adakalanya mengecam tindak-tanduk kepemimpinan dan pentadbiran negeri termasuk di dalam Dewan.

Sehinggakan ada rakan yang bertanyakan apa motif sebenarnya apabila Alias, 47, yang juga peguam ini tidak lagi dilihat menjauhi, memusuhi kepimpinan negeri?

Dalam usaha itu juga, Alias diandaikan cuba merangkumkan sekali pendiriannya bersama mungkin 10 atau 12 lagi wakil rakyat yang pendirian sebenar mereka dikatakan masih menjadi tanda-tanya.

Tidakkah Alias menunaikan harapan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang kerap menyuarakan agar semua membuat pendekatan berbaik-baik dan menyokong kepimpinan Ahmad setelah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO menerajui parti.

Ia merupakan rentetan perkembangan positif terhadap perpaduan kepimpinan UMNO Terengganu yang selama ini dipisahkan dengan permainan istilah Kem Idris dan Kem Ahmad Said.

Musim keliru kini sudah berakhir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pengesahan yang tegas dengan mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada Januari lalu.

Soal sama ada mereka yang menjadi wakil-wakil rakyat kini akan terus menjadi calon terserah kepada pucuk pimpinan berasaskan penilaian siapa yang paling baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa kemenangan.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan
Malaysia di Terengganu

No comments:

Post a Comment