Friday, April 29, 2011

Bersesak di Surau Selepas Bangunan Tadika Dirobohkan

Surau dijadikan tadika di Kampung Kepong, Kuala Terengganu.

Selepas bangunan tadika mereka dirobohkan untuk pembinaan pasar basah sembilan bulan lalu, 25 kanak-kanak prasekolah di Kampung Kepong di sini terpaksa belajar di sebuah surau tinggal di kampung itu sementara menunggu bangunan kekal di kawasan mereka.

Bagaimanapun, hingga kini kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun terbabit terpaksa belajar dalam kesukaran kerana belum nampak sebarang tanda bangunan tadika baru akan dibangunkan dalam tempoh terdekat.

Walaupun dalam keadaan tidak selesa untuk pengajaran dan pembelajaran, guru tadika Fatimah Harun, 46, bersama pembantunya, Zaleha Mohd Zain, 50, tidak merungut dan meneruskan tanggungjawab mendidik tunas bangsa di surau itu dengan gigih dan bersemangat.

Tinjauan Berita Harian ke kampung itu mendapati surau yang digunakan sebagai tadika kanak-kanak itu memang tidak sesuai sebagai kelas prasekolah kerana keadaan yang sempit dan berhampiran sungai.

Kalangan ibu bapa yang ditemui pula sedih kerana surau itu dijadikan tadika, justeru meminta pihak berkuasa berkaitan mencari jalan penyelesaian kerana bimbang keselamatan anak mereka berikutan surau berhampiran sungai.

Ibu seorang murid, Normaliani Ariffin, 28, berkata dia kesal terhadap pihak tertentu yang mengabaikan prasarana untuk mengasuh tunas bangsa alam prasekolah hingga sebuah surau lama terpaksa dijadikan bilik darjah kerana mereka tiada pilihan.

"Sepatutnya, balai raya boleh juga dijadikan tadika tetapi pembinaan balai raya baru juga tidak disiapkan hingga kini," katanya yang merayu pihak berkuasa berkaitan supaya cakna dan membina segera sebuah bangunan untuk pendidikan prasekolah yang sangat penting dalam memacu kecemerlangan anak bangsa.

Seorang bapa, Azman Said, 43, berkata perkara itu mungkin tidak akan terjadi sekiranya pihak berkenaan prihatin untuk menyediakan tempat khas yang sesuai kepada kanak-kanak itu untuk mereka mengikuti kelas prasekolah.

"Tidak salah surau ini dijadikan sebagai tadika tetapi demi kebaikan kepada semua pihak, saya minta bangunan khas dalam persekitaran lebih sesuai dijadikan sebagai tadika untuk memudahkan guru melaksanakan pembelajaran dan pengajaran serta aktiviti lain," katanya yang juga seorang peniaga.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment