Friday, April 29, 2011

SKM Sasar Wujudkan Koperasi Di 6,600 Masjid Seluruh Negara

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan untuk mewujudkan koperasi di semua 6,600 buah masjid yang ada di seluruh negara sehingga akhir tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan koperasi di setiap masjid itu dilihat penting supaya ekonomi umat Islam bertambah kukuh.

"Kita lihat setiap hari Jumaat, sambutan Maulidur Rasul atau hari-hari keramaian yang diadakan di masjid, akan ada peniaga yang berniaga di sekitar masjid. Tetapi semuanya melibatkan orang luar, tidak melibatkan masjid itu sendiri.

"Kita buat koperasi ini supaya masjid itu mampu menampung keperluannya sendiri di samping mungkin mereka boleh melabur dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan keuntungan, tetapi berdasarkan prinsip syariah," katanya selepas merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid negeri Terengganu semalam.

Ismail Sabri berkata buat permulaan ke arah penubuhan koperasi masjid, SKM bersetuju memberi bantuan sebanyak RM30,000 manakala di Terengganu, kerajaan bersetuju meluluskan RM10,000 untuk penubuhan koperasi masjid.

"Namun kita mahu lihat dulu apa projek atau perniagaan yang akan dijalankan sebelum meluluskan peruntukan. Kalau ada daya saing, kita akan bagilah.

"Peringkat awal mereka bolehlah berniaga peralatan masjid atau kursus haji atau peralatan menunaikan haji, mengeluarkan pakaian dan sebagainya yang tidak perlu diimport lagi," katanya.

Katanya sehingga ini ada negeri-negeri yang sudah mempunyai koperasi seperti di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kedah tetapi secara sendiri-sendiri dan tidak berkelompok seperti di Terengganu.

Beliau berkata sebanyak 489 buah masjid di Terengganu bolehlah menubuhkan koperasi dengan sebaik mungkin dan beliau meminta pegawai SKM mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa masjid untuk membantu daripada segi penubuhannya.

"Lepas program di Terengganu ni, kita akan bergerak pula ke Pahang dan Johor dalam usaha merealisasikan penubuhan koperasi masjid," katanya.

No comments:

Post a Comment