Tuesday, April 26, 2011

Dana Khusus Kerajaan Negeri Untuk Belia - Rozi

Kerajaan Negeri akan menyediakan dana khusus kepada persatuan belia setiap daerah tahun depan bagi menggalakkan persatuan bergerak khususnya di kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya juga menyasarkan 1,000 persatuan belia dapat ditubuhkan sekurang-kurangnya hujung tahun ini dan kini jumlah yang sudah mendapat sijil pendaftaran sekitar 600 persatuan.

“Sebagaimana sedia maklum, berlaku pertukaran kepimpinan dan keahlian bagi persatuan belia seluruh negara kerana kini hanya individu berumur bawah 40 tahun layak menyertai persatuan belia.

“Pertukaran ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah dan kini ia masih dalam proses baik pulih iaitu pendaftaran semula persatuan,” katanya.

Rozi berkata, selepas pendaftaran semula, semua persatuan perlu diperkasakan di semua daerah.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan kepada pejabat daerah dan disalurkan kepada persatuan belia melalui Pejabat Belia dan Sukan di setiap daerah.

“Paling penting, persatuan belia ini melaksanakan program tidak kiralah sama ada kecil atau besar kerana lebih utama pelaksanaannya supaya persatuan terus aktif,” katanya.

Beliau berkata demi-kian pada Majlis Perasmian Pasar Tani Kuala Ping di Dataran Kuala Ping, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong berkata, sokongan belia terhadap kerajaan kini juga semakin menunjukkan peningkatan dan maklumat serta dasar kerajaan harus disampaikan secara terus kepada golongan sasar.

“Pandangan menyatakan belia tidak menyokong kerajaan tidak tepat tetapi kita akui segelintir belia cenderung menyokong orang lain (pembangkang), namun sokongan mereka terhadap kerajaan semakin meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment