Tuesday, April 26, 2011

Tarikh Tutup Penyertaan Candat Sotong Hari Ini

Atas permintaan peserta yang berminat menyertai Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011, penganjur melanjutkan tarikh tutup penyertaan daripada 22 April kepada hari ini, 26 April.

Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat berkata, berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai untuk menyertai acara unik yang hanya ada di Terengganu itu, penganjur meminta mereka yang berminat supaya segera mendaftar kerana tempat adalah terhad.

“Penyertaan setakat ini sungguh memberangsangkan dan melebihi 90 peratus sasaran ditetapkan serta hanya tinggal beberapa bot lagi untuk diisi.

“Peserta yang menghantar penyertaan dan membuat bayaran diminta menghubungi Sham atau Rahmat di talian 03-20569683 untuk pengesahan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang karnival di Pulau Warisan itu, pengunjung disajikan dengan acara sampingan seperti sukan rakyat, antaranya pertandingan wau naik, dam aji, audio kereta dan mini konsert yang bakal dibarisi artis terkenal.

“Kemeriahan karnival pasti terasa apabila slot acara sampingan berjalan serentak bersama aktiviti jualan sepanjang karnival berlangsung,” katanya.

Menurutnya, 30 gerai jualan akan dibuka pada karnival berkenaan seawal jam 3 petang 29 April sebelum ditutup pada petang hari terakhir karnival pada 1 Mei.

No comments:

Post a Comment