Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Akta Kastam 1967 dan akta-akta berkaitan dengan jabatan itu yang dianggap sudah tidak lagi sesuai serta boleh menyumbang kepada penyelewengan.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata kajian untuk meminda akta yang dianggap lapuk dan perlu penambahbaikan itu telah lama dilakukan dan tidak mempunyai kaitan dengan dengan penahanan 62 kakitangannya termasuk pegawai kanan bergelar Datuk akibat salah guna kuasa dan rasuah oleh SPRM baru-baru ini.
"Kita bercadang meminda undang-undang dan JKDM telahpun mengenal pasti peruntukan undang-undang yang kita anggap tidak sesuai dengan keadaan semasa serta boleh beri peluang untuk pelbagai bentuk penyelewengan oleh pelbagai pihak sama ada pihak swasta dan warga kastam sendiri.
"Draf cadangan untuk pindaan undang-undang itu telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pindaan Undang-undang untuk diperhalusi dalam mesyuarat kali ini sebelum kita kemukakan kepada pihak kementerian untuk dipertimbangkan bagi kelulusan Menteri bagi peraturan dan kalau libatkan akta untuk dibentangkan dalam Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama dan TV3 selepas merasmikan dan mempengerusikan Mesyuarat Pengarah Kastam Semalaysia kali ke-65 di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu hari ini.
Mesyuarat tiga tahun sekali yang diadakan selama empat hari bermula semalam hingga 7 April ini telah lama dirancang untuk diadakan dan dihadiri oleh hampir semua Pengarah Kastam dari seluruh Malaysia kecuali Pahang dihadiri oleh wakilnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khalid berkata, draf untuk pindaan itu mencakupi semua akta berkaitan pungutan hasil negara termasuk Akta Kastam 1967, Akta Cukai, Akta Cukai Jalan, Akta Cukai Perkhidmatan, Akta Cukai Eksais, serta Akta Zon Bebas Cukai. "Pindaan juga akan dilakukan terhadap Akta Zon Bebas Cukai kerana kita dapati akta ini ada ruang untuk disalahgunakan dan kita perlu cadangkan pindaan untuk memantapkan tahap kawalan kastam," katanya.
No comments:
Post a Comment