Saturday, April 2, 2011

Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat

Sebanyak 301 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh 20 Mac hingga 26 Mac, iaitu penurunan sebanyak 56 kes berbanding 357 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata jumlah terkumpul sehingga 26 Mac adalah 5,160 kes, penurunan 58 peratus atau 6,997 kes berbanding 12,157 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kes kematian akibat denggi juga menurun sebanyak 81 peratus atau 35 kematian, di mana terdapat lapan kematian bagi tahun 2011 berbanding 43 dalam tempoh sama pada tahun 2010," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tujuh buah negeri bagaimanapun menunjukkan peningkatan kes dalam tempoh itu berbanding minggu lepas iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya yang meningkat sebanyak 14 kes, Sabah (3 kes), Terengganu (3 kes), Kedah (2 kes), Kelantan (2 kes), Labuan (1 kes) dan Negeri Sembilan (1 kes).

Dr Hasan berkata sepanjang minggu lepas terdapat 56 lokaliti wabak di 17 daerah dipantau di seluruh negara dengan lapan daripadanya merupakan lokaliti 'hot spot' yang melibatkan sebanyak 89 kes demam denggi berbanding hanya tiga lokaliti 'hot spot' pada minggu sebelumnya.

"Lima lokaliti baru dilaporkan pada minggu lepas berlaku di Selangor iaitu di Seksyen 18 (Teres A 18/16B) di daerah Petaling, Seksyen 4 Bandar Rinching di daerah Hulu Langat, Bandar Country Homes Fasa 13 dan Taman Hijau Rawang masing-masing di daerah Gombak.

"Manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lokaliti 'hot spot' baru adalah di PPR Laksamana (Jalan Peel) di zon pusat bandar," katanya.

Bagi kes penyakit Chikungunya pula, terdapat satu kes dilaporkan di Sabah untuk tempoh 20 Mac hingga 26 Mac menjadikan jumlah terkumpul bagi penyakit itu ialah 11 kes, penurunan sebanyak 98 peratus berbanding 500 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

No comments:

Post a Comment