Friday, April 15, 2011

Khalid Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Khalid, 54, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sejak Sept 2010.

Pelantikan Khalid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menggantikan Hussin yang bersara wajib pada usia 58 tahun esok, katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Khalid, yang dilahirkan pada 5 Sept 1957 di Seremban, Negeri Sembilan, memasuki perkhidmatan polis pada 5 Dis 1976 sebagai Inspektor polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Selangor pernah menyandang beberapa jawatan termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah 1 Bukit Aman (2006), Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Ketua Polis Daerah Kuantan (2003), Ketua Jabatan Pengurusan Pahang (2003) dan Ketua Jabatan Narkotik Kedah (1997).

Sambil menyifatkan amanah yang diberikan begitu mencabar, Khalid berjanji akan menjalankan tugas dengan baik untuk memartabatkan pasukan polis selaras dengan misi dan visi pasukan.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan Ismail kerana memberi kepercayaan kapadanya untuk memikul tanggungjawab itu.

Dalam pada itu, Hussin berkata beliau berpuas hati berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia terutama dalam sumbangan yang telah ditabur kepada pasukan itu dan juga ketenteraman negara.

"Saya yakin Khalid dapat meneruskan legasi yang akan membawa PDRM terus cemerlang dan komited. Saya selepas ini akan menghabiskan masa bersama keluarga setelah tidak dapat melakukannya sebelum ini," katanya.

Hussin yang dilahirkan pada 15 April 1953 di Muar, Johor telah mencurah bakti pada pasukan PDRM selama 39 tahun dan empat bulan termasuk dengan memegang jawatan Pengarah KDN/KA pada 2008, Ketua Polis Johor (2006), Ketua Polis Terengganu (2004) dan Ketua Cawangan Khas Perak (2002).

No comments:

Post a Comment