Friday, April 15, 2011

Lapangan Tapis Terengganu, Pelaburan Utama ExxonMobil Corp di Malaysia

Gas asli akan menjadi sumber bahan api utama paling pantas berkembang pada 2030 dengan bahagian tenaga globalnya meningkat daripada kira-kira 20 peratus kepada 25 peratus, kata seorang pegawai ExxonMobil Corporation.

Pelaburan utamanya di Malaysia ialah di Lapangan Tapis yang terletak 190 km luar pantai Terengganu.

Rob E Gardner, pengurus bahagian ekonomi dan tenaga di jabatan perancangan strategik korporat syarikat itu berkata, perkembangan pesat permintaan gas asli ini adalah disebabkan terutamanya peningkatan permintaan bagi bahan api untuk penjanaan kuasa dan industri.

Ini terutamanya, di negara-negara bukan Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Peralihan daripada arang batu bagi mengurangkan pelepasan CO2, terutamanya di negara-negara OECD, juga akan memacu pertumbuhan bagi gas asli," kata Gardner pada taklimat media mengenai laporan "ExxonMobil Outlook for Energy: A View to 2030" di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjelang 2030, gas asli akan menjadi sumber tenaga kedua terbesar dunia mengatasi arang batu.

"Minyak terus menjadi sumber tenaga terbesar dunia pada 2030," katanya.

Menurut laporan prospek tenaga ExxonMobil itu, angin, suria dan biofuel akan menyediakan kira-kira tiga peratus daripada tenaga dunia menjelang 2030, katanya.

Di Asia Pasifik, arang batu akan menjadi bahan api utama manakala di AS dan Eropah, gabungannya agak berbeza dengan arang batu diatasi oleh gas asli dan nuklear, dan di Eropah, bahan api boleh diperbaharui.

"Kebimbangan mengenai pelepasan gas rumah hijau dan keinginan untuk mendapatkan lebih banyak kepelbagaian dalam bahan api mendorong peningkatan pelaburan dalam nuklear, angin dan suria sebagai bahan api penjanaan kuasa," katanya.

Daripada sumber-sumber ini, beliau berkata, nuklear akan memainkan peranan paling penting pada 2030.

Bagaimanapun, gabungan masa depan bahan api ini akan beralih dan ini sebahagian besarnya akan berdasarkan kos, kata Gardner.

Dalam laporan prospek tenaga ExxonMobil itu, ia menyatakan bahawa di kebanyakan rantau, arang batu dan gas asli adalah paling ekonomi.

Hari ini, kira-kira 40 peratus kuasa dunia datang daripada arang batu manakala kira-kira 20 peratus datang daripada gas asli.

Bahan api fosil, kata Gardner, masih dijangka memainkan peranan utama terutamanya bagi pengangkutan.

Menurut laporan itu, di seluruh dunia, permintaan tenaga berkaitan pengangkutan dijangka meningkat hampir 40 peratus dari 2005 ke 2030 berikutan peningkatan aktiviti ekonomi, kenaikan pendapatan, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

Mengenai ExxonMobil, Gardner berkata dalam sektor minyak dan gas, syarikat itu komited dalam bajet modalnya sekitar US$33 bilion hingga US$37 bilion setahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Dilaporkan bahawa ExxonMobil akan memulakan projek pemulihan minyak dipertingkat di Lapangan Tapis pada 2013.

No comments:

Post a Comment