Friday, April 29, 2011

Kibaran Bendera, Solat Hajat Antara Persiapan Terakhir...

Beberapa persiapan terakhir diadakan hari ini dan semalam bagi memastikan lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri secara rasmi esok berjalan lancar.

Datuk Sri Mohd Najib Razak dijangka tiba jam 9.45 malam ini (29 April) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Raptai Majlis Perasmian Rumah Rakyat di Pulau Duyong turut diadakan petang ini.

Sementara solat hajat memohon keberkatan Allah sempena lawatan PTP Perdana Menteri diadakan di Kampung Pulau Bahagia, Manir malam tadi dan selepas solat Jumaat hari ini.

Malam tadi solat hajat diadakan di tapak Himpunan dan Jamuan Rakyat bersama Perdana Menteri iaitu di pentas utama tempat Perdana Menteri akan menyampaikan amanat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Shamsuddin Sulong memgimamkan solat hajat di masjid Kampung Pulau Bahagia.



Menurut laporan Unit Komunikasi Negeri, kibaran bendera yang siap siaga menyambut kehadiran Perdana Menteri dilakukan sejak beberapa hari lalu

Rakyat Terengganu, khususnya penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program sambutan Perdana Menteri sudah tidak sabar menunggu kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Lebih 40,000 penduduk terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang diatur sempena program itu.

Beliau akan memulakan lawatan kerjanya esok dengan lokasi lawatan pertama ialah Pekan Batu Enam kira-kira jam 9 pagi. Pekan Batu Enam terletak di kawasan DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus.

Perdana Menteri akan berjalan kaki menemui pemimpin dan rakyat di Peti Undi Batu Enam, DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus selepas menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, dan menyertai gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Selepas itu, Datuk Sri Mohd Najib dijadualkan ke Bukit Tunggal untuk menyempurnakan program pelancaran Pasar Baru Bukit Tunggal, sebelum bertolak ke Manir untuk program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Beliau juga akan melawat Klinik Kesihatan Masyarakat di Pulau Bahagia manakala sebelah petangnya, Perdana Menteri akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong.

Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional di Taman Shahbandar di mana kira-kira 20,000 orang akan menikmati makan malan bersama-sama pemimpin nombor satu negara.

Majlis tersebut akan diserikan dengan persembahan artis dan tayangan video.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment