Saturday, April 16, 2011

LKIM Bantu Atasi Kekurangan Bot

Mohad Khazin (kanan) bersama Zainor memegang dokumen perjanjian antara Berita Harian dan LKIM sambil diperhatikan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan selepas mesyuarat khas di Ibu Pejabat LKIM, semalam.
Masalah kekurangan bot dan isu kenaikan sewa saat akhir untuk peserta memancing kategori laut pada Karnival GP Joran yang kerap dialami ketika penganjuran acara itu berakhir apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) campur tangan membantu Berita Harian mengatasinya.

Kedua-dua isu itu diselesaikan hasil mesyuarat antara Berita Harian dan LKIM dengan beberapa Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang terbabit.

Mesyuarat selama dua jam yang dipengerusikan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohad Khazin Hamzah itu mencapai kata sepakat untuk membantu penganjur mendapatkan bilangan bot mencukupi dengan kadar sewaan dipersetujui semua pihak.

“Pada dasarnya mesyuarat hari ini mencapai objektifnya untuk membendung dua masalah berkenaan dan selepas ini kami di LKIM akan memperhalusi lagi butiran perjanjian supaya satu kerjasama dicapai dan seterusnya memeterai perjanjian persefahaman dengan Berita Harian,” katanya.

Hadir sama Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said; Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah; Pengurus Besar PNK Mersing, Johor, Mohd Izzham Faruza Mohd Nazur; Pengurus Besar PNK Pekan, Pahang, Zamri Mohamad dan Pengurus besar PNK Dungun, Terengganu, Zainal Abidin Zakaria.

Karnival GP Joran terdekat ialah di Tanjung Leman, Mersing pada 7 dan 8 Mei depan diikuti karnival seterusnya di Kuala Pahang, Pahang sekitar Julai dan pusingan akhir di Dungun, Terengganu sekitar Oktober depan.

Mohad Khazin berkata, buat permulaan, ketiga-tiga PNK terbabit akan diminta memaklumkan hasil mesyuarat kepada ahli iaitu pemilik bot nelayan di kawasan masing-masing mengenai hasrat Berita Harian yang akan menyewa bot milik mereka pada masa yang ditetapkan tanpa mengenakan tindakan sabotaj atau menaikkan sewa saat akhir.

Sementara itu, Mohd Izzham Faruza berjanji akan mendapatkan bot mencukupi untuk peserta Kategori Laut Dalam di Karnival GP Joran Tanjung Leman 2011 sebagai tanda menyokong usaha Jabatan pelancongan Johor merancakkan aktiviti pelancongan sekitar Pulau Sibu di perairan Tanjung Leman.

“Saya akan membuat bancian untuk mengenal pasti bot sesuai dan menyampaikan ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini kepada ahli kami di Mersing dan mungkin mendapatkan bantuan daripada ahli nelayan di Sedili juga,” katanya

Berita Harian

No comments:

Post a Comment