Kerajaan Negeri kini lebih proaktif dalam merealisasikan impian Terengganu Maju agar pembangunan keusahawanan negeri dapat menjana perkembangan ekonomi negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bertanggungjawab memajukan program itu menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu dan luar negeri ini.
Menurutnya, buat peringkat permulaan, YPU juga mengadakan program kerjasama dengan pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melaksanakan program perantis keusahawanan dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM150,000 bagi mewujudkan seramai 30 usahawan siswazah dalam kalangan anak Terengganu apabila tamat pengajian nanti.
“Kerjasama juga dilaksanakan melalui pembukaan Kedai Serbaneka T’Shoppe di UUM dan diharap UMT akan menjadi destinasi kedua bagi pembukaan T’Shoppe nanti.
“Pihak UMT juga difahamkan sudah mengadakan perjanjian persefahaman dengan pihak YPU bagi mengeratkan lagi aktiviti keusahawanan di UMT,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap perjanjian tersebut berjaya melahirkan siswazah yang bukannya hanya menggenggam ijazah apabila tamat nanti.
“Kerajaan Negeri juga berharap siswazah berkenaan berjaya menjadi seorang usahawan yang berilmu dan berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Usahawan Muda UMT 2011 yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Katanya, dengan pelaksanaan program sebegini, ia akan dapat melahirkan kesedaran minda dan mematangkan fikiran siswazah ketika membuat keputusan untuk masa depan mereka dengan lebih cemerlang.
“Kunci kepada kesedaran dalam dunia keusahawanan atau perniagaan adalah ilmu, iaitu pengetahuan mengenai apa yang berlaku dan wajar dilakukan.
“Justeru, melalui pembudayaan keusahawanan pada peringkat IPT, akan memberikan pengetahuan mengenai selok-belok dunia keusahawanan menerusi pendedahan kepada siswazah menceburi perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah lama berhasrat membantu siswazah dan membudayakan aktiviti keusahawanan menerusi Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment