Mesyuarat Perwakilan Umno bagi semua 1,008 cawangan Umno di Terengganu telah selesai dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini seperti pergaduhan berlaku.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata ia termasuk sayap Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Umno peringkat cawangan juga telah disempurnakan.
Sehubungan itu, katanya Mesyuarat Perwakilan Umno di lapan bahagian di negeri itu akan bermula 7 hingga 28 Mei ini.
"Bagi mesyuarat di bahagian-bahagian Umno negeri, ia akan dirasmikan pemimpin Umno dari pusat. Dijangka Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden akan hadir merasmikan namun jadual lengkap belum diperolehi.
"Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri akan diadakan Sabtu ini untuk membincangkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita di Marang, hari ini.
Tengku Putera mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) Kali ke 24/2011 yang turut dihadiri Yang Dipertuanya Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
No comments:
Post a Comment