Friday, April 22, 2011

Rakyat Manir, Bukit Tunggal Tunggu Lawatan Najib

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tidak sabar-sabar menerima kunjungan pemimpin utama negara, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dijangka melawat kawasan itu pada 30 April ini.

Kawasan Manir menjadi antara lokasi pilihan sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke Terengganu bagi menemui pemimpin setempat dan penduduk di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, pada sebelah petang, selain beberapa kawasan lain di sekitar Kuala Nerus.

Datuk Seri Mohd Najib yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 8.45 pagi dan terus memulakan lawatan kerja ke Pekan Batu Enam, DUN Bukit Tunggal serta Parlimen Kuala Nerus.

Lawatan kerja di Pasar Batu Enam melibatkan kawasan menjual kuih muih, pasar basah, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai barangan lain.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri bakal menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, sebelum meneruskan aktiviti gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusuf Awang Hitam (gambar kiri), berkata pemimpin dan penduduk setempat sedang sibuk membuat pelbagai persiapan bagi menerima kunjungan Perdana Menteri.

“Pihak kami berjanji akan melakukan tugas sebaik mungkin supaya Program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir berjalan lancar dan sempurna,” katanya.
Sementara itu, dijangka Kira-kira 3,000 orang, termasuk sebahagian besarnya peniaga akan menyambut ketibaan Perdana Menteri di Pekan Batu Enam dalam kawasan dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, pada lawatan itu.

Pelbagai persiapan awal sedang rancak dilakukan di kawasan itu bagi menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara, yang sememangnya amat dinanti-nantikan penduduk kawasan tersebut.

Satu lagi kawasan DUN pembangkang yang menjadi tumpuan lawatan Perdana Menteri ialah Manir yang letaknya tidak jauh dari Pekan Batu Enam.

Kehadiran beliau dijangka menaikkan semangat jentera parti Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Najib dijadualkan menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam yang menjadi tumpuan penduduk kawasan itu.

Mengikut jadual yang diatur, beliau akan melawat kawasan menjual kuih muih, pasar basar, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai barangan lain di Pekan Batu Enam.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment