Sunday, April 17, 2011

Pantai Merang Berwajah Baru Untuk Jadi Destinasi Pelancongan

Pantai Merang yang lebih sedekad lalu sekadar menjadi lokasi transit bagi pelancong ke Pulau Redang akan diberi wajah baru bagi mengembalikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika meninjau kawasan itu kelmarin mahu persekitaran yang mencacatkan pandangan disusun dan diperindahkan semula.

Katanya, ia termasuklah menggantikan gerai-gerai yang dibina ala kadar oleh penduduk dengan pembinaan 30 unit kedai oleh pihak berkuasa tempatan agar memberikan keselesaan kepada peniaga setempat dan juga pengunjung.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula kedudukan beberapa calet yang usang serta terbiar supaya kawasan itu ceria selain menjadi tarikan kepada para pengunjung ke situ.

"Kalau dibiarkan calet-calet itu yang tidak beroperasi sejak sekian lama memberikan gambaran yang tidak baik," katanya.

Selain meninjau Pantai Merang, Ahmad Said dalam lawatan kerjanya ke daerah itu turut meninjau beberapa kawasan lain termasuk penternakan udang di Kampung Nyatuh dan tanaman jagung di Kampung Langkap di Setiu.

Ahmad Said memberitahu, pihaknya juga akan memastikan muara sungai Merang tidak terlalu cetek supaya ia tidak menghalang bot nelayan dan pelancong keluar masuk melalui muara di situ.

"Tahun lepas sahaja kita membelanjakan hampir RM9 juta bagi mengorek pasir di muara serta laluan bot agar perkhidmatan bot pelancong untuk membawa penumpang tidak terjejas dalam masa yang terlalu lama.

"Kita juga akan meminta peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi membina benteng di muara sungai ini agar masalah mereka tidak akan berlaku setiap kali musim tengkujuh," ujarnya. Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment