Pemain Selangor Amirulhadi Zainal (kiri) menanduk bola sambil diasak pemain Perak, Mohd. Noor Hazrul pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.
Selangor merampas semula teraju carta saingan bola sepak Liga Super 2011 daripada Terengganu yang bermain lebih awal kelmarin setelah menundukkan Perak 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Rembatan kaki kanan ketua pasukan negara, Safiq Rahim pada minit ke-68 yang memanfaatkan keadaan kelam-kabut depan gol, memadai untuk melonjakkan Gergasi Merah mengumpul 26 mata setakat ini berbanding Terengganu 24 mata.
Kemenangan anak buah K. Devan ini turut menunda langkah skuad Seladang di tangga ketiga, yang turut mengidam ke tangga teratas selain Kelantan dari tangga keempat setelah Wira Merah sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Kota Bharu.
Perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV itu turut menyaksikan jurulatih Sabah, Gary Phillips diarah meninggalkan bangku simpanan pasukan kerana mendapat kad merah setelah membantah keputusan pengadil pada minit ke-22.
Kegagalan Kelantan mengutip tiga mata itu membolehkan Kedah merapati di tangga keempat setelah menundukkan Pahang 1-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar menerusi jaringan V. Thirumurugan, minit ke-56.
Jaringan tunggal Irfan Fazail pula memastikan skuad bawah 22 tahun negara, Harimau Muda A merampas tangga keenam milik Felda United apabila mengatasi kelab Johor, Johor FC 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Kuala Lumpur mengejutkan T-Team 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sementara Perlis menghampakan hasrat Negeri Sembilan mengutip kemenangan sulung di bawah jurulatih baru, Azraai Khor Abdullah dengan menewaskan pelawat 3-2 di Stadium Utama, Kangar.
No comments:
Post a Comment