Wednesday, April 6, 2011

Penggunaan Pukat Tunda Udang Antara Punca Penyu Pupus

Penggunaan pukat tunda udang dikenali pasti menjadi salah satu punca utama kepada kepupusan penyu sama ada di negara ini atau negara-negara lain di dunia. Ketua

Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata untuk mengurangkan kesan penggunaan pukat itu, Amerika Syarikat telah menetapkan peraturan agar semua negara yang ingin mengeksport hasil tangkapan udang laut ke negara itu, mereka hendaklah menggunakan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat yang digunakan.

“Tanpa menggunakan alat itu (alat yang dapat mengeluarkan penyu setelah terperangkap di dalam pukat) hasil udang yang ditangkap adalah dilarang untuk di eksport ke negaranya. “Peraturan ini adalah merujuk kepada ‘U.S. Shrimp Import Embargo’ yang telah berkuatkuasa mulai tahun 1996,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyu dan Peranti Penyisih Penyu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Gulamsarwar Jan Mohammad yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Marine Research Foundation Dr Nicholas T Pilcher.

Ahmad Sabki berkata TED yang berharga RM400 seunit itu telahpun diterima pakai oleh nelayan Sabah dan beliau berharap nelayan di pantai timur turut menggunakannya dalam usaha mengelakkan kepupusan habitat itu.

Katanya untuk meningkatkan penggunaan TED di kalangan nelayan pantai timur, pihaknya akan mengadakan lebih banyak promosi dan membekalkan TED secara percuma.

Ancaman-ancaman lain kepada penyu ialah aktiviti pembangunan yang tidak terancang di kawasan pendaratan penyu, pencemaran, hakisan, penambakan pantai, perdagangan telur penyu dan aktiviti penggunaan alat menangkap ikan, kata beliau.

Katanya usaha pengurusan dan pemuliharaan penyu di negara ini telah dilaksanakan sejak 1960, terutama di negeri-negeri yang mempunyai pendaratan penyu seperti Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata matlamat pelaksanaan program pengurusan dan pemuliharaan penyu adalah untuk mengurus, memulihara dan melindungi populasi penyu di negara ini dari terus diancam kepupusan.

Katanya Jabatan Perikanan sepanjang tahun 2000 hingga 2010, telah mengeramkan sejumlah 3 juta biji telur penyu dan sejumlah 1.9 juta ekor anak penyu berjaya ditetas dan dilepaskan semula ke habitat asalnya di laut.

“Anak-anak penyu ini adalah hasil daripada pendaratan ibu-ibu penyu yang telah mendarat sebanyak 34,000 kali di pantai-pantai negara ini di mana 90 peratus pendaratan adalah di pantai-pantai Terengganu,” katanya.

Ahmad Sabki berkata penyu adalah khazanah marin yang perlu dipulihara dan dilindungi kerana keunikannya dan sebagai satu-satunya reptilia marin yang wujud sejak berjuta tahun dahulu hingga sekarang.

“Negara kita bertuah kerana empat daripada tujuh jenis penyu yang mendarat di dunia masih mendarat dan bertelur di pantai-pantai kita. Bagaimanapun pendaratan penyu Belimbing dan penyu Lipas untuk bertelur sudah berkurangan.

“Jika tidak diurus dan dilindungi dengan baik, sudah pasti penyu lain seperti penyu Agar dan penyu Karah turut berkurangan dan akhirnya akan pupus dan tidak dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment