Wednesday, April 20, 2011

Penjawat Awam Penuhi Syarat Boleh Mohon Tanah Di Terengganu

Ahmad Said berucap pada pertemuan dengan penjawat awam di Jerteh, Besut kelmarin. - Gambar Harith Fadzilah.

Penjawat awam kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat di Terengganu boleh memohon mendapatkan tanah di negeri itu sekiranya mereka telah berkhidmat dalam tempoh yang ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, penjawat awam boleh membuat pilihan sama ada untuk memilih tanah pertanian seluas satu hektar ataupun satu lot rumah kediaman di mana-mana kawasan di negeri ini.

Beliau berkata syarat bagi penjawat awam negeri untuk memperoleh tanah itu ialah mereka mestilah telah berkhidmat melebihi 5 tahun manakala bagi persekutuan pula perlu melebihi 10 tahun berkhidmat secara terus menerus di Terengganu.


"Tawaran ini merupakan satu insentif bagi menghargai khidmat kakitangan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut di Gong Kemuntong Jerteh, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Mara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad Said berkata keutamaan akan diberi kepada penjawat awam yang telah berkahwin, tetapi mereka hanya dibenar membuat satu permohonan tanah.

"Pemberian tanah ini terikat kepada syarat tertentu. Mereka yang telah memperoleh tanah itu nanti, tidak boleh menjual dan menggadaikannya kepada mana-mana pihak kecuali kepada institusi kewangan seperti bank sekiranya pemilik tanah membuat pinjaman untuk membina rumah di atas tanah berkenaan sahaja," katanya.

Beliau berkata borang permohonan tanah itu boleh didapati di semua pejabat daerah di negeri ini pada bila-bila masa mulai sekarang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ahmad meminta semua penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Mereka perlu menghormati kerajaan yang ada di mana tempat mereka berkhidmat tanpa prasangka atau mensabotaj dengan bertindak secara negatif kerana mempunyai fahaman politik yang berbeza," katanya.

1 comment:

  1. syarat terus menerus 10 tahun utk kakitangan persekutuan di negeri terengganu sepatutnya boleh diberi kelonggaran.

    jgn lah terus menerus, takkanlan mereka yang dah berkhidmat 9 tahun, tiba-tiba dapat tawaran naik pangkat, kena bertukar ke mana-mana diluar terengganu,

    kemudian balik semula bertugas di terengganu, takkan nilai berkhidmat bermula dari 0 balik.

    sepatutnya campur je tempoh berkhidmat tersebut. mereka pun rakyat terengganu juga, berkhidmat untuk rakyat terengganu juga.

    longgar-longgarkan la.

    ReplyDelete