Kapten Mohd. Amri Yahyah (kanan) diasak pemain pertahanan Sabah, Rosdin Wasli pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Selangor menang 1-0.
Terengganu kekal di tangga kedua dengan 25 mata setelah mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Perak, yang berada di tempat keempat liga dengan 23 mata, membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Shafiq Jamal sebelum Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-59.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula, pasukan T-Team dan Johor FC terikat 1-1.
Gol T-Team disumbangkan oleh Mohd Shahrul Ezrain pada minit ke-10 sebelum Johor FC menyamakan kedudukan menerusi jaringan Shahrizal Mohd Saad pada minit ke-48.
Juara bertahan, Selangor terus gah di tangga teratas Liga Super dengan berkelebihan empat mata setelah berjaya menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selepas tamat 13 perlawanan bagi pusingan pertama, Selangor mengumpul 29 mata hasil sembilan kemenangan, dua seri dan dua tewas.
Pada aksi di Shah Alam malam tadi, jaringan tunggal pemain tengah, Azidan Sarudin pada minit ke-71 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor.
Skuad bimbingan K. Devan itu jelas menguasai sepenuhnya permainan babak pertama tetapi kekebalan penjaga gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein gagal dibolosi.
Selangor memperoleh beberapa peluang tetapi gagal disempurnakan Fadzli Saari, Amri Yahyah, Hardi Jaafar, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal.
Rembatan leret Azidan dari luar kotak penalti pada minit ke-39 pula sempat ditepis keluar Syed Adney.
Pada awal babak kedua, Sabah berpeluang memperoleh jaringan pada minit ke-61 tetapi percubaan Leopold Alfonso Otong berjaya dihadang Nasriq Baharom ketika keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti.
Gol kemenangan Selangor akhirnya hadir pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma Azidan yang gagal ditangkap kemas Syed Adney lalu bola bergolek perlahan masuk ke gawang Sabah.
Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Selangor selepas mereka menewaskan Felda United dan Perak, juga dengan jaringan 1-0.
Selangor akan membuka tirai saingan pusingan kedua bertemu Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu ini.
Di Stadium Utama, Kangar, Kelantan memulihkan rentak kejayaan apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 5-1.
Selepas seri tanpa jaringan dengan Sabah minggu lepas, Kelantan berjaya mengumpul mata penuh untuk naik satu anak tangga di tempat ketiga dengan 24 mata.
Mohd Badhri Mohd Radzi muncul wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan hatrik pada babak kedua di minit ke-46, 66 dan minit ke-78.
Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha membuka jaringan Kelantan pada minit keenam dan 43 dan gol saguhati Perlis disumbangkan oleh Mohd Faiz Subri pada minit ke-11.
Perlis masih tercengkam di tangga terbawah liga dengan tujuh mata, selepas hanya mampu menang sekali dalam 13 perlawanan.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan Felda United mengatasi Kuala Lumpur 2-1 untuk kemenangan kelima.
Azrul Ahmad menjadi wira pasukan Felda United apabila menjaringkan dua gol tersebut pada minit ketujuh dan 13 manakala gol tunggal Kuala Lumpur diperoleh menerusi Syafiq Johair pada minit ke-43.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing berkongsi satu mata apabila seri 1-1.
Negeri Sembilan mendahului babak pertama dengan jaringan Idris Abdul Karim pada minit ke-10 sebelum Pahang bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-79.
Kosmo!, Bernama
No comments:
Post a Comment