Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di Malaysia apabila projek ternakan udang membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar di Kampung Nyatoh, Setiu dapat dipasarkan kelak.
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, buat permulaan sebanyak 216 kolam membabitkan kawasan seluas 400 hektar akan diusahakan dalam tempoh terdekat, sebelum semua kolam terbabit beroperasi sepenuhnya.
Katanya, projek yang bakal mengubah ekonomi negeri dan memberi pendapatan kepada peserta itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kerja –kerja terakhir menyiapkan kolam termasuk memasang kanvas khas sedang giat dijalankan oleh kontraktor dilantik. Oleh itu, pihak kami yakin, udang peringkat pertama boleh dilepaskan pada September ini.
“Udang yang diternak itu boleh mencapai tempoh matang selama empat bulan sebelum dapat dipasarkan secara meluas termasuk ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolam ternakan udang di kampung itu, baru-baru ini.
Menurutnya, lebih 1,500 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk tempatan terutama di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) apabila siap sepenuhnya kelak.
“Melalui projek ini, sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk untuk menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment