RHB Islamic Bank menyasarkan keuntungan RM20 juta daripada skim pembiayaan di Kelantan dan jika mencatatkan perkembangan positif, bank itu merancang memperluaskan lagi rangkaian skim berkenaan di beberapa cawangan RHB Islamic Bank di negeri lain.
Ini termasuk, antaranya Terengganu, Kuching, di Sarawak dan Bangi, di Selangor dalam masa terdekat.
Selain itu, katanya RHB Islamic Bank menyasarkan pembukaan dua cawangan setiap tahun bagi melengkapkan rangkaian niaganya di seluruh negara.
RHB Islamic Bank kini memiliki 250,000 pelanggan di 12 cawangannya di seluruh negara.
Menyedari potensi pembiayaan menerusi gadaian sementara barangan emas, mengambil inisiatif melaksanakan produk barunya, iaitu Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu, dengan Kelantan sebagai lokasi pertama projek perintis itu.
Pengarah Urusannya, Abd Rani Lebai Jaafar berkata Kelantan terpilih bagi cawangan pertama RHB Islamic Bank kerana ia terkenal sebagai pusat perniagaan kecil-kecilan utama di negara ini.
"Antara 12 cawangan RHB Islamic Bank di seluruh negara, Kelantan dipilih sebagai lokasi perintis kerana wanitanya, secara keseluruhannya, ramai berkecimpung dalam bidang perniagaan dan gemar memiliki emas untuk perhiasan dan sebagai simpanan."
"Produk ini menjadi satu jalan keluar kepada mereka mendapatkan tunai bagi keperluan seharian, terutama semasa terdesak," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) dan Fiesta Perbankan Islam 2011 Negeri Kelantan di Kota Bharu, Khamis.
Abd Rani berkata skim pembiayaan RHB Islamic Bank itu dijangka mendapat perhatian kerana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilai semasa emas yang dipajak.
"Jenis emas yang diterima adalah emas 999, 950, 916, 875, 835 dan 750 dan jumlah pembiayaan minima adalah RM100 sehingga RM50,000 bagi setiap pelanggan pada satu-satu masa," katanya.
No comments:
Post a Comment