Sunday, April 3, 2011

SPRM Wujud Bilik Khas Dilengkapi Perakam Video Untuk Temubual Saksi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mewujudkan bilik khas yang dilengkapi perakam video di semua bangunan suruhanjaya itu bagi menemu bual saksi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata kamera litar tertutup (CCTV) juga akan ditempatkan di setiap laluan pejabat dan jeriji besi dipasang di tingkap bangunan terbabit.

"Bilik khas tersebut dilengkapkan dengan alat perakam dan kamera video untuk memantau serta merekod penyataan dan tingkah laku saksi dan juga pegawai SPRM itu sepanjang perjalanan sesi temu bual.

"Semua bangunan SPRM di seluruh negara terlibat dan dijangka siap pada hujung tahun ini, dan setakat ini, bilik khas yang dipanggil 'Video Interview Room' (VIR) itu telah diwujudkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Perak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2010 di Akademi Pencegahan Rasuah Khamis lalu.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi menangkis tohmahan serta tuduhan orang luar bahawa SPRM mengasari dan memaksa saksi yang ditemu bual agar mengaku kesalahan tanpa rela.

Abu Kassim berkata perolehan CCTV bernilai RM4.25 juta, yang merangkumi pembekalan dan pemasangan, ditempatkan di setiap laluan bangunan SPRM bagi mengawal serta mengenal pasti aliran keluar masuk pegawai dan orang awam. Beliau berkata alat pengimbas sinar-X dan pengesan logam turut dipasang di setiap bangunan SPRM sebagai langkah memperketat kawalan keselamatan.

"Buat masa ini, semua bangunan SPRM telah dipasang CCTV tersebut, kecuali Johor, yang akan dipasang tidak lama lagi, dan dua bangunan menggunakan CCTV sedia ada iaitu Pahang dan Kelantan.

"Sementara itu, hanya tujuh bangunan SPRM iaitu di Perlis, Selangor, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Labuan telah dipasang jeriji manakala lapan lagi belum dipasang atas faktor bangunan persekutuan serta kekangan kewangan ," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM Datuk Mohd Noor Abdullah berkata tiga pegawai SPRM telah dibuang kerja kerana salah laku pada tahun lepas, manakala 13lagi diberi amaran, lima ditahan gaji dan seorang masing-masing diturunkan pangkat, didenda serta dibebaskan.

Mohd Noor berkata kesalahan pegawai terbabit merangkumi penyalahgunaan kuasa, kecuaian dalam tugas dan tidak mematuhi prosedur kerja.

Beliau berkata pihaknya menerima 54 aduan daripada orang ramai sepanjang tahun lepas, dan 57 peratus daripadanya dapat diselesaikan. Beliau berkata bagi meningkatkan ciri keselamatan serta memudahkan aduan dilakukan oleh orang awam, ibu pejabat SPRM serta SPRM di beberapa negeri akan beroperasi di kompleks sendiri.

"SPRM telah mendapat kelulusan jemaah menteri untuk membina bangunan Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya secara Bina-Sewa-Pindah Milik dengan tempoh pembinaan antara 2011 sehingga 2014.

"Setakat ini juga, sebahagian SPRM negeri telah mempunyai dan memulakan operasi di kompleks sendiri seperti Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Duta, SPRM Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang," katanya.

Abu Kassim berkata kompleks SPRM di negeri lain seperti Melaka, Kelantan, Johor dan Pahang sedang dalam proses pembinaan. Jawatankuasa Aduan ditubuhkan pada Februari 2009 bagi memantau pengendalian aduan berhubung perbuatan salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai SPRM serta mengenal pasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan, selain membuat cadangan mengenai tatacara kerja, jika difikirkan patut dan sesuai.

Selain Mohd Noor, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Mohd Noor dan bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah.

Anggota lain ialah Peguamcara dan Peguambela dari Tetuan Chooi & Co. Chooi Mun Sau serta Peguamcara dan Peguambela dari V.M. Ravi & Associates, V. Ravindran.

No comments:

Post a Comment