Sunday, April 3, 2011

Terengganu Perhebat Promosi Tarik Pelancong ASEAN

Kerajaan negeri akan memperhebatkan promosi pelancongan negeri dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelancong dari negara-negara rantau ASEAN.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, langkah kerajaan negeri itu untuk meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini yang dianggarkan mencecah tiga juta orang pada tahun ini.

Katanya, walaupun tumpuan diberikan kepada negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei, promosi ke negara lain turut dilakukan.

Menurut beliau, Terengganu mencatatkan penurunan jumlah kedatangan pelancong daripada 3.1 juta orang pada 2008 kepada 2.93 juta pada 2009 manakala tahun lalu mencatatkan jumlah kunjungan pelancong seramai 2.5 juta orang.

Bagaimanapun katanya, statistik kedatangan pelancong domestik dan negara jiran tidak banyak mengalami penurunan berbanding pelancong asing kerana beberapa faktor antaranya keadaan cuaca dan harga minyak.

"Kerajaan negeri yakin sasaran kedatangan tiga juta pelancong ke negeri ini tahun ini tercapai berdasarkan banyak aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa diadakan termasuk promosi serta kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu Ke-22 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri, Wan Supian Datuk Wan Ishak.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, pemandu pelancong yang berdaftar dan mempunyai lesen tetapi tidak berpeluang bekerja dalam industri pelancongan akan dikenal pasti.

Katanya, usaha itu untuk memastikan segala pengalaman yang diperolehi ketika berkursus dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkenalkan Terengganu kepada pelancong.

"Pada masa ini terdapat 47 orang pemandu pelancong dan 60 pemandu alam semulajadi yang berdaftar dengan Pejabat Kementerian Pelancongan di Terengganu," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment