Wednesday, April 13, 2011

Tak Mungkin Pas Dapat Perjuangkan Islam Di Sarawak Dengan Hanya Lima Kerusi

SEDIA... Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia dengan peti-peti undi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 di Bilik Gerakan SPR di Kuching, Selasa. PRN Sarawak akan diadakan pada 16 April ini membabitkan 71 Dewan Undangan Negeri di 1,749 pusat pengundian membabitkan 979,796 pengundi berdaftar.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman Selasa mempertikaikan hasrat sebenar PAS bertanding di Sarawak kerana tidak mungkin parti itu dapat memperjuangkan Islam di negeri ini dengan hanya lima kerusi ditandinginya.

Sebaliknya, menurut beliau parti dari Semenanjung itu hanya datang untuk memecahbelahkan umat Islam di negeri ini.

"Ini berbeza dengan PBB yang merupakan parti terbesar mewakili penduduk Islam di Sarawak," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kursus Pendedahan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air, yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu, 27 daripada 35 kerusi yang ditandingi PBB terdiri daripada calon beragama Islam, kata Daud, yang juga Menteri (Hal Ehwal Islam) di Pejabat Ketua Menteri.

Justeru, tindakan PAS bertanding lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini bukanlah demi kepentingan perjuangan Islam tetapi lebih kepada kepentingan mereka sendiri semata-mata, katanya.

Lima kerusi yang ditandingi PAS adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjong Datu.

Beliau berkata PBB telah menjalinkan persefahaman yang rapat dengan rakan-rakan bukan Islam daripada parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional Sarawak. Daud berkata mereka menghormati kepimpinan PBB kerana melihat parti itu adil untuk sama-sama mentadbir negeri ini.

Dalam pilihan raya ini, Daud akan mempertahankan kerusi Tupong berdepan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baharuddin @ Din Shah Mokhsen.

No comments:

Post a Comment