Nasib seorang tekong bot nelayan warga Thailand yang dipukul dan dicampak ke laut setelah bergaduh dengan empat awak-awaknya belum diketahui.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata lelaki itu dicampak di perairan Pulau Redang dalam kejadian pada 4 petang Ahad lepas dipercayai berpunca daripada salah faham. Pembantu tekong, juga warga Thailand, yang turut dicampak ke laut setelah ditumbuk awak-awak, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
Manoharan berkata pembantu tekong berumur 54 tahun itu berada di laut hampir 24 jam sebelum ditemui dalam keadaan lemah di pantai berkenaan dengan kesan lebam di muka pada 3 petang keesokan harinya.
Dia dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan. "Kita telah meminta bantuan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia untuk membantu mengesan mangsa," katanya.
Manoharan berkata bahawa selepas tekong dan pembantu tekong itu dicampak ke laut, bot berkenaan dikendalikan oleh awak-awak. Mereka dipercayai gagal mengawalnya sebelum ia terhempas pada batu pada 5 petang hari yang sama dan kesemua mereka berenang menyelamatkan diri ke Pantai Tok Jembal di sini.
Keempat-empat awak-awak itu, tiga darinya berasal dari Kemboja manakala seorang dari Thailand, berumur antara 23 dan 27 tahun itu ditahan pada hari yang sama, kata Manoharan.
Empat awak-awak itu kini direman untuk siasatan lanjut manakala pembantu tekong turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, katanya.
No comments:
Post a Comment