Tuesday, April 19, 2011

Terengganu Perlukan Lebih Ramai Saintis, Teknokrat

Sebahagian pelajar menunjukkan sijil anugerah kecemerlangan yang disampaikan oleh Ahmad Said di Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman, kelmarin.

Kerajaan negeri berharap lebih ramai anak negeri melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan teknologi bagi menyemai budaya mengkaji dan mencipta untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sejajar dengan harapan itu, kerajaan berusaha menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan setiap tahun.

Katanya, ia bagi membolehkan anak negeri mencapai kecemerlangan dalam akademik dan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang, khususnya sains dan teknologi.

Menurut beliau, sehingga kini jumlah saintis khususnya orang Islam amat berkurangan.

''Jika ciptaan umat Islam yang dapat memberi kebaikan serta digunakan oleh berjuta manusia, sudah tentu begitu banyak ganjaran dan pahala yang bakal diperoleh mereka," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa Pelajar bersama Menteri Besar dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Akademik 2010 di Sekolah Menengah Agama Al-Falah, di kelmarin.

Pada majlis itu, Ahmad Said turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada lebih 60pelajar yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Katanya, dengan lahirnya lebih ramai saintis yang hebat, adalah tidak mustahil mereka dapat menyingkap setiap yang ada di atas muka bumi ciptaan Allah ini yang bakal memberikan banyak manfaat kepada manusia.

Utusan Malaysia

1 comment: