Kerajaan negeri dijangka memperuntukkan RM150,000 untuk melaksanakan projek penanaman tebu telur atau tebu kuning di Kampung Bukit Mundok, Setiu sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata, daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan untuk proses tanaman manakala RM50,000 lagi akan digunakan untuk tujuan pemasaran termasuk mendirikan sebuah kios yang berkaitan.
Katanya, ketika ini, kawasan penanaman seluas 12 hektar itu baru selesai dibersihkan dan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, kerja-kerja perparitan akan mula dilaksanakan.
"Saya jangkakan, menjelang hujung tahun ini, projek itu boleh dimulakan sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) peringkat negeri di Hotel Permai di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Timur, Mohd. Ariffin Awang dan Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh.
Difahamkan, projek tanaman tebu itu setakat ini melibatkan 30 peserta dengan setiap seorang akan mengusahakan tanah seluas 0.4 hektar.
Dalam pada itu, Asha'ri memberitahu, sebahagian besar tebu yang ditanam di negeri ini diperoleh dari Jelebu, Negeri Sembilan.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah menghantar beberapa pegawai yang berkenaan untuk membuat kajian di sana terutama berhubung teknik penjagaan tebu untuk diaplikasikan di sini.
"Kalau penjagaan tebu itu elok, maka eloklah tebu itu. Tetapi jangan pula diamalkan konsep 3T (tanam, tinggal dan tuai) selepas projek itu dimulakan nanti," ujar beliau. Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment