Sunday, May 29, 2011

1,500 Sertai Sukan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

Kompleks Sukan UMT yang sebelum ini digunakan bagi kejohanan Sukanun


Selepas Sukan Badan Berkanun (Sukanun), kini kira-kira 1,500 peserta berentap pada Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Maksper) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

UMT khususnya yang mempunyai kemudahan gelanggang sukan bertaraf nasional mampu menggendalikan acara sukan seperti dibuktikan dengan kejayaan Sukanun baru-baru ini.

Kejohanan Maksper melibatkan 19 acara itu bakal menyaksikan pasukan bersaing merebut juara.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Razani Ujang berkata, kali terakhir kejohanan itu diadakan ialah pada 2006.

“Sepatutnya kejohanan ini adalah acara tahunan, namun disebabkan beberapa masalah terutamanya kekangan kewangan, ia terpaksa ditangguhkan.

“Justeru, kita menganggap penganjuran kali ini (2011) adalah sebagai permulaan yang baik serta berupaya menganjurkannya mengikut jadual pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, berikutan penangguhan sejak lima tahun lalu, rata-rata atlet yang mengambil bahagian pada kali ini menunjukkan semangat yang begitu membanggakan.

“Selain itu, kejohanan ini ialah landasan buat kesemua peserta terpilih mewakili jabatan (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia) dalam Kejohanan Sukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang dijadualkan Julai depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment