Sunday, May 29, 2011

Pelajar Pukul Rakan Bakal Dikenakan Tindakan Disiplin - Pengetua

Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal yang dipercayai memukul rakannya sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima tujuh jahitan dalam satu kejadian di Kuala Terengganu Rabu lepas, bakal berhadapan dengan tindakan gantung sekolah.

Pengetua sekolah berkenaan, Zakiah Salleh berkata tindakan itu akan diambil jika siasatan yang dilakukan oleh pihak sekolah mendapati pelajar itu terlibat dalam kejadian memukul mangsa Abdul Rahman Abdul Ghani.

"Pihak sekolah sedang menyiasat punca sebenar pergaduhan tersebut dan jika didapati pelajar berkenaan bersalah hukuman sewajarnya akan dikenakan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di rumahnya di Kampung Bukit Kandis di Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau juga telah mengarahkan guru disiplin dan guru hal ehwal pelajar untuk membuat siasatan bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan, selain tindakan memanggil ibu bapa pelajar berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Zakiah berkata kes itu juga sedang disiasat polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari Rabu lepas, Abdul Rahman menerima tujuh jahitan di telinga kiri selepas didakwa dipukul oleh rakannya dari sekolah yang sama.

No comments:

Post a Comment