Sunday, May 1, 2011

250 Pelajar Darul Quran Mulakan Pengajian 14 Mei

Seramai 250 pelajar akan memulakan pengajian Program Diploma Tahfiz Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sesi 2011/2012 pada 14 Mei ini.

Mereka adalah calon-calon yang berjaya dalam proses temuduga yang dijalankan pada 18 hingga 21 April lepas, daripada 850 calon yang telah memohon untuk mengikuti program itu.

Pengarah Darul Quran Jakim Paimuzi Yahya berkata calon-calon yang gagal dalam temuduga itu pula boleh memohon melanjutkan pengajian yang sama ke beberapa institusi pengajian tahfiz yang turut menjalankan kerjasama dengan Darul Quran dengan kurikulum yang sama.

Antaranya ialah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Maahad Tahfiz Masjid Saidina Ali, Melaka, Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulau Pinang dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kangar Perlis.

Yang lain ialah Maahad Tahfiz Majlis Agama Islam Kelantan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Perak (INTIM), Institut Tahfiz Al-Quran Terengganu, Institut Pengajian Islam Terengganu (INSPI), Maahad Tahfiz Al-Qurqan Wal Qiraat Sabah dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Darul Quran http:/www.darulquran.gov.my atau menghubungi talian 03-60635350.

No comments:

Post a Comment