Sunday, May 1, 2011

Skuasy: Nafiizwan Sekali Lagi Buat Kejutan

Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menepati ramalan merangkul gelaran kelapannya manakala Mohd Nafiizwan Adnan mengejutkan pilihan utama Ong Beng Hee pada perlawanan akhir Kejohanan Individu Asia ke-16 di Georgetown, semalam.

Mohd Nafiizwan, yang mengejutkan pilihan kedua Farhan Mehboob dari Pakistan pada saingan separuh akhir semalam, meneruskan rentak cemerlang dengan menjinakkan pilihan utama itu 11-7, 7-11, 11-7, 11-8 dalam masa 64 minit.

Pemain berusia 25 dari Terengganu berkata beliau tidak pernah berfikir dapat menewaskan Beng Hee tetapi keazamannya bertambah selepas mengalahkan Farhan sebelum layak ke final.

"Saya paksa diri saya untuk menampilkan persembahan terbaik dan ianya berhasil apabila mampu mengawal keadaan," kata Mohd Nafiizwan selepas kejayaan sulung dalam edisi Asia itu.

Manakala Beng Hee, juata empat kali, berkata beliau amat kecewa dengan kekalahan itu kerana terpaksa bersusah payah mengawal rentaknya.

Dalam pada itu, Nicol, pemain nombor satu dunia, tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pemain Hong Kong Annie Au Wing-Chi 11-3, 11-2 dan 11-5 dalam masa 23 minit di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di Bukit Dumbar di sini.

Sebelum ini, Nicol, 27, menjuarai kejohanan itu pada 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 dan 2010.

"Saya bangga dapat menjuarai kejohanan ini di gelanggang sempena nama saya serta di hadapan ahli keluarga dan penonton tempatan," katanya yang akan kembali berlatih di bawah jurulatih Liz Irving di Amsterdam, Belanda.

Nicol berkata beliau berharap untuk kembali beraksi pada Kejohanan Terbuka Malaysia pada Julai ini.

Dalam pada itu, naib juara Annie Au, yang menduduki ranking ke-11 dunia, berkata Nicol memang pemain yang sukar diatasi hari ini.

"Saya berasa letih selepas perlawanan sengit pada separuh akhir semalam. Saya berpuas hati dengan prestasi saya pada kejohanan ini dan telah mencapai matlamat untuk mara ke final," kata pemain pilihan kedua itu.

No comments:

Post a Comment