Saturday, May 7, 2011

600 Koperasi Di Terengganu Menjelang 2015

Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 600 buah koperasi dapat diwujudkan di seluruh negeri dengan jumlah keahlian lebih 650,000 menjelang 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, sasaran yang tinggi itu bagi melibatkan seramai mungkin anggota masyarakat dalam perniagaan di samping membantu meningkatkan ekonomi mereka dan juga negeri.

Katanya, selaras dengan pendekatan 1Kampung 1Koperasi oleh kerajaan negeri, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menjayakannya.

“Tumpuan penubuhan koperasi itu turut melibatkan peringkat kampung, tanah rancangan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta masjid-masjid,” Katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ia turut dihadiri Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani.

Ekspo tiga hari di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu berkenaan berakhir hari ini.

Menurut Mohamed, setiap koperasi yang diluluskan penubuhannya akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM40,000 iaitu RM10,000 daripada kerajaan negeri dan RM30,000 lagi daripada SKM bagi membolehkan ia bergerak dengan lancar.

Katanya, pada masa ini terdapat 350 buah koperasi di seluruh negeri yang melibatkan keahlian lebih 300,000 orang dan modal pusingan bernilai kira-kira RM400 juta.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus adalah koperasi berbentuk mikro manakala 44 peratus adalah berskala sederhana kecil dan hanya enam peratus berskala besar,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam usaha memastikan koperasi tersebut terus aktif, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menubuhkan Unit Koperasi bagi membimbing dan memberi khidmat nasihat serta pinjaman.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah usahawan kepada lima usahawan Felda yang berjaya.

No comments:

Post a Comment