Saturday, May 7, 2011

Fiesta Mempromosi Bandar Baru Kijal

Fiesta Happy Riuh anjuran Happy Prabayar dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini sekali gus mempromosikan kawasan tersebut secara lebih meluas sebelum bangunan tekstil di situ dijangka bakal dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun ini.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafar Khalid berkata, setakat ini kehadiran pengunjung ke kawasan di bawah kendalian pihaknya itu masih kurang memuaskan.

“Jadi dengan program sebegini kita yakin ia mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung untuk datang ke Bandar Baru Kijal. Kehadiran lebih ramai pengunjung akan membantu meningkatkan pendapatan peniaga sedia ada di kawasan ini sekarang.

“Selain itu, kita juga menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bagi membolehkan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) Cawangan Kemaman berniaga berdekatan Pasar Raya Besar Giant,” katanya kepada kepada Sinar Harian selepas merasmikan Fiesta Happy Riuh di pekarangan Pasar Raya Giant Kijal, di Kemaman, kelmarin.

Menurutnya, sebuah pentas akan turut disediakan agar pelbagai aktiviti boleh diadakan supaya kawasan berkenaan lebih meriah sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai tempat tumpuan ramai.

Katanya, pembinaan jalan di kawasan berkenaan kini hampir sempurna manakala kawasan tempat letak kereta pula juga telah siap.

Sementara itu, sempena program Fiesta Happy Riuh selama tiga hari yang bermula semalam itu, pelbagai program menarik disediakan dan pengunjung berpeluang menyertai acara sukan,, persembahan silap mata dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment