Penduduk kampung mengangkat motosikal mangsa Mohd. Shazwan Yusrien Yusof yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu, malam kelmarin. – Utusan
Seorang bapa sempat memangku anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan sambil mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin.
Namun, apa yang lebih menyedihkan, Yusof Mohamad, 43, baru sahaja tiga hari bertemu dengan anaknya itu, Mohd. Shazwan Yusrien, 19, kerana mereka kini tidak tinggal bersama sejak beberapa tahun lalu.
Sejak penceraian Yusof dan isterinya, Mohd. Shazwan Yusrien dijaga oleh neneknya di Seberang Marang manakala bekas isteri Yusof kini dikatakan menetap di Johor.
Kemalangan yang meragut nyawa Mohd. Shazwan Yusrien itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin.
Ketika kejadian, pemuda itu dikatakan menunggang motosikal bersama seorang rakan wanitanya dari Jalan Tok Adis menghala ke Masjid Tengku Tengah Zaharah dan dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Akibatnya, motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta sewa yang membawa tiga penumpang dari arah Kuala Terengganu ke Cendering, menyebabkan kedua-dua mereka tercampak sejauh kira-kira 50 meter.
Mohd. Shazwan Yusrien cedera parah di kepala manakala rakan wanitanya yang turut parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurut Yusof, dia amat terkilan kerana kali terakhir melihat kelibat anaknya itu tiga hari lalu.
Katanya, ketika itu, anaknya yang membantu neneknya membuat keropok ada melintas di depan rumahnya di Rumah Murah Kuala Ibai di sini namun hanya memandang dari jauh kerana perhubungan mereka agak renggang selepas dia dan isterinya berpisah.
“Dia lalu di depan rumah tetapi tidak berhenti dan menyapa saya. Kami hanya saling berpandangan,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ,” katanya.
Setelah mengetahui kemalangan itu, kata Yusof, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
“Walaupun kami tidak rapat namun sekurang-kurangnya saya telah menjalankan tanggungjawab saya. Malah saya juga menguruskan pengebumian arwah,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment