Thursday, May 19, 2011

320 Kelab Kuda Poni Seluruhj Negara Berkumpul di Terengganu 5-10 Jun

Datuk Hamzah (kanan) menjawab soalan pada sidang media semalam.

Buat julung-julung kalinya, Terengganu akan menjadi tuan rumah Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 yang menghimpunkan 320 Kelab Poni dari seluruh negara di Terengganu Equestrian Resort (TER) dari 5 hingga 10 Jun ini.

Program itu bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 6 Jun nanti.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, perkhemahan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan di Kementerian Pelajaran.

Sepanjang perkemahan berlangsung pelbagai aktiviti disediakan termasuk menunggang kuda, seminar selain kursus intensif bagi juru ladam.

"Tujuan program ini diadakan antara lain untuk memberi pendedahan serta pengalaman baru kepada ahli Kelab Poni selain memupuk semangat berpasukan.

"Di samping itu, ia juga diadakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan sukan berkuda di negeri ini," katanya.

Beliau menyatakannya selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas perkara yang sama, Pengerusi TER, Datuk Hamzah Mohamad berkata, program itu turut memberi peluang kepada seluruh ahli kelab itu mendapat latihan mengenai cara menunggang kuda, kegiatan berpasukan serta latihan praktikal mengenai penjagaan kuda dan pemakanan haiwan itu.

Menjelaskan mengenai sejarah kewujudan Kelab Poni, Hamzah berkata, penubuhannya dirintis pada tahun 1929 di United Kingdom dan berkembang ke 18 negara dengan 110,477 buah kelab.

"Bagi Terengganu, Kelab Poni ditubuhkan pada tahun 2006 yang dirasmikan oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin," katanya.

Menurut beliau, dalam usia yang singkat, kelab itu berjaya melahirkan ramai penunggang kuda terlatih untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment