Tuesday, May 17, 2011

Bantuan RM1 Juta Untuk Aktiviti Belia Terengganu

Warga belia di Terengganu yang aktif berpersatuan bakal menerima bantuan pentadbiran berjumlah RM1,029,000 sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang pada lusa (19 Mei.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan perkara sama dengan menyampaikan replika cek kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri ke Terengganu, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mendapat peruntukan sebanyak RM50,000; 19 Pertubuhan Badan Gabungan Belia (PBGB) peringkat negeri mendapat RM152,000; PBGB daerah (RM165,000) dan PBG peringkat cawangan pula memperoleh RM662,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata peruntukan tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap belia bagi menjayakan pelbagai program mengikut kehendak persatuan masing-masing.

Katanya, setiap program yang bakal dilaksanakan perlu mematuhi peraturan ditetapkan, boleh membawa imej baik kepada Terengganu dan bukannya berunsur negatif.

“Saya ingin memberitahu masyarakat bahawa golongan belia sebenarnya banyak memberi sumbangan dalam pelbagai aspek terutama dalam bidang sukan dan akademik.

“Tidak wajar menuduh golongan itu membawa imej negatif semata-mata kerana banyak perkara yang dilaksana boleh menaikkan imej Terengganu sama ada di peringkat kebangsaan dan luar negara,” katanya pada sidang media yang diadakan di Radio Televisyen Malaysia Terengganu (RTM) Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu semalam.

Menurutnya, pelbagai program diwujudkan kerajaan negeri bagi melahirkan belia cemerlang, kreatif, berdaya saing dan taat pada agama, termasuk mewujudkan skim belia tani dan skim niaga.

“Sebagai contoh melalui skim niaga, setiap belia diberi peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membuka perniagan menjual jagung atau dikenali sebagai Kios Jagung Rakyat.

“Kerajaan negeri akan menarik blik skim itu sekiranya mereka yang terlibat gagal melaksanakan perniagaan yang diamanahkan,” katanya.

Rozi berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Sementara itu kira-kira 10,000 belia di seluruh negeri ini dijangka menghadiri Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Terengganu 2011 yang berlangsung selama dua hari, bermula Khamis ini.

Majlis yang diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu itu bakal dirasmikan Menteri Besar.

Sambutan itu diadakan bertujuan mengiktiraf sumbangan golongan belia yang sebelum ini banyak berjasa kepada Terenganu terutama berkaitan sukan dan akademik.

Katanya, lebih 25 aktiviti diadakan sempena program dua hari itu, termasuk karnival sukan tradisional, perkhemahan tranformasi belia, senamrobik, cabaran kayak belia, percubaan masa motosikal (sprint test), , konvoi belia bermotosikal, ceramah agama, paintball dan pertandingan catur.

Aktiviti dan pertandingan lain, memancing, hoki padang, bola jaring, bola tampar, sepak takraw dan kereta kawalan jauh.

Pada tahun lalu, Menteri Besar turut merasmikan program sama yang diadakan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment