Monday, May 2, 2011

BN Sedia Peta Jalan Terperinci Bawa Malaysia Jadi Negara Maju, Kata PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan "peta jalan" yang terperinci dan jelas bagi membawa Malaysia menjadi negara maju.

Justeru kata Perdana Menteri, jika rakyat ingin melihat impian itu tercapai, BN adalah pilihan terbaik untuk memikul tanggungjawab tersebut berdasarkan kejayaan yang dicapai sejak merdeka.

Mengenai BN di Terengganu, Perdana Menteri berkata: "Saya amat yakin negeri Terengganu kekal di tangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Ini memandangkan sambutan rakyat Terengganu terhadap BN di negeri ini begitu jelas," katanya.

"Bukan calang-calang pihak boleh kita beri kepercayan untuk mentadbir negara," katanya yang juga Pengerusi BN.

"Kita mesti faham bukan calang-calang orang boleh kita beri kepercayaan untuk mentadbir negara.

"Sekiranya kita ingin melihat Malaysia terus maju, maka kerajaan BN telah sediakan satu peta jalan, ia bukan perancangan biasa tetapi peta jalan yang terperinci dan jelas," katanya, di Kuala Terengganu, malam kelmarin (30 April 2011).

Kira-kira 26,000 orang ramai hadir di majlis jamuan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini. Jamuan itu adalah kemuncak kepada lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak ke Terengganu sehari suntuk kelmarin(30 April).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan seluruh saf kempimpinan negeri hadir. Majlis berlangsung dalam suasana rakyat biasa boleh duduk bersama pemimpin tanpa halangan protokol.

Najib yang berucap di hadapan pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan di Dataran Shahbandar, berkata impian menjadi negara maju bukan satu fantasi, tetapi bakal menjadi realiti dengan iltizam dan kesungguhan kerajaan BN.

"Saya beri ketetapan dan jaminan, kalau tidak ada sesuatu (faktor) yang berlaku di luar negara, matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju akan tercapai pada tahun 2020," katanya.

Sebaliknya kata beliau, pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian seperti yang terjadi pada rakyat negeri Terengganu yang merana ketika pemerintahan PAS pada 1999.

Beliau berkata pembangkang hanya pandai memperdagangkan janji namun gagal mengotakannya.

Najib turut meluahkan keyakinan Terengganu akan kekal di tangan BN pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima BN Terengganu pada jamuan tersebut.

Ini adalah jamuan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini, katanya.

Terdahulu, BN Terengganu selaku penganjur terpaksa menambah 6,000 lagi kerusi pada majlis tersebut selepas tetamu yang hadir melebihi jangkaan asal 20,000 orang.

No comments:

Post a Comment