Sunday, May 1, 2011

PAS Tidak Akan Keluar Pakatan Pembangkang, Kata Nik Aziz

Turun padang oleh Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Terengganu di DUN Manir semalam bertujuan bertemu rakyat dan membuktikan bahawa Barisan Nasional 'Mesra & Cakna Rakyat'.


Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan bahawa PAS tidak akan keluar dari pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu menolak cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang meminta Pas keluar dari pakatan pembangkang kerana pakatan itu jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

"Tolak, tolak, itu perkara lama," kata Nik Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Program Bina Ummah "Maqasid al-Syariyyah" anjuran Perbadanan Tabung Amanah Tok Kenali di Balai Islam, Lundang di semalam.

Perdana Menteri dalam lawatannya ke Terengganu semalam meminta PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang)," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 orang pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri berkata masa depan Malaysia sebenarnya lebih terjamin menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Umno lahir di istana dan bukannya lahir di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR)".

Najib berkata rakyat telah bijak untuk menilai kepimpinan yang benar-benar dapat memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

"Masa depan Malaysia ini adalah lebih terjamin dengan BN," katanya.

Sementara itu di BACHOK, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin menyokong saranan Najib agar Pas meninggalkan pakatan itu kerana ia ternyata tidak pernah memperjuangkan nasib bangsa dan agama.

Katanya, Kelantan di bawah kepimpinan PAS telah tertinggal semakin jauh ke belakang berbanding negeri-negeri lain dalam pelbagai bidang, kata Timbalan Menteri Kewangan itu kepada pemberita selepas meraikan pasukan bola sepak Bachok di Dewan Haji Hussin Perupuk di sini, hari ini.

"Umno Kelantan sanggup berkorban apa saja demi menjayakan gagasan itu demi kepentingan rakyat Kelantan.

"Malah jawatan dan pangkat tidak penting bagi kami, apa yang perlu difikirkan nasib dan masa depan rakyat Kelantan yang perlu diutamakan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment