Saturday, May 14, 2011

Episod Malang Terus Merundung T-Team

Gelaran 'jaguh kampung' pun tidak layak lagi bagi T-Team. Petang Khamis lalu ia kalah di tempat sendiri. - Gambar Harith Fadzillah.

Sebelum ini gelaran jaguh kampung apabila hanya memang di tempat sendiri.

Kini Episod malang terus menyelubungi pasukan T-Team apabila tunduk 1-3 kepada Harimau Muda A pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Lebih malang lagi, skuad kendalian Yunus Alif itu terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Zairo Anuar Zailani dan Shazlan Alias masing-masing dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.

Kekurangan itu jelas dipergunakan pemain Harimau Muda yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengutip tiga penuh.

Pasukan T-Team berjaya menyumbat gol seawal minit kelapan menerusi Rosdi Talib, bagaimanpun aksi cemerlang tersebut gagal diteruskan walaupun bermain di gelangang sendiri.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Muda yang dibimbing Ong Kim Swee cuba bangkit menerusi gandingan Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zaharulnizam Zakaria, namun gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan separuh masa.

Pada babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan bertambah agresif sehingga menyaksikan pemain tengah T-Team, Shazlan dilayangkan kad merah pada minit ke-59.

Tujuh minit kemudian, Harimau Muda berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fandi Othman yang melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari jarak 20 meter.

Kelalaian benteng pertahanan T-Team terus dihukum pasukan pelawat, menerusi pemain gantian, Syahrul Azwari yang bijak menggunakan peluang terhidang di hadapan pintu gol pada minit ke-83.

T-Team yang cuba bangkit mencari gol penyamaan terus dirundung malang pada minit ke-89 apabila Zairo diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Mohd Sabri Mat Lazim.

Keputusan itu sekaligus memberi kelebihan kepada Harimau Muda apabila Syahrul menjaringkan gol ketiga pasukannya untuk tiga mata penuh.

Dengan kemenangan itu, Harimau Muda melonjak satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan 26 mata selepas 18 perlawanan, manakala T-Team terperosok di tangga ke sembilan liga.

No comments:

Post a Comment