Seorang mahasiswi sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Kampung Raja atas kesalahan cubaan melakukan persetubuhan haram dengan pasangannya di sebuah chalet di Pantai Air Tawar, tahun lalu.
Pengakuan salah penuntut wanita berusia 19 tahun sebuah universiti di negeri itu dan pasangannya seorang tukang rumah berusia 28 tahun menyebabkan dia kemudiannya diperintahkan membayar denda RM2,700 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Ketika ditangkap, lelaki itu menyembunyikan motosikalnya di dalam bilik chalet dipercayai bagi mengelak perbuatan mereka dihidu penguat kuasa.
Hukuman dijatuhkan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof yang menerima pengakuan bersalah mereka tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Kamu memiliki otak yang cerdik, jadi perangai kenalah baik. Kamu tidak kasihan kepada mak dan ayah kamukah hingga sanggup memalukan mereka begini?” kata Mohd Nazri dalam penghakimannya.
Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit ditangkap dalam sebuah chalet di Pantai Air Tawar pada jam 1.10 pagi, 20 Oktober tahun lalu.
Mahasiswa yang beralamat di Desa Peringat, Kota Bharu Kelantan dan pasangan dari Telaga Papan, Cherang Ruku, Semerak, Kelantan itu dituduh di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana persediaan melakukan persetubuhan haram yang sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.
Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, ketika penguat kuasa syariah mengetuk pintu chalet itu, seorang lelaki yang hanya menutup badannya dengan selimut membuka pintu.
Pemeriksaan lanjut mendapati mahasiswi itu berada di dalam bilik air dengan hanya memakai tuala.
Terdahulu, dalam rayuannya, mahasiswi terbabit sambil menangis memberitahu sudah bertaubat dan meminta mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya.
Kedua mereka membayar denda yang dikenakan.
No comments:
Post a Comment