Mungkinkah Kijang dan Penyu akan bertarung bagi Final Piala FA tahun ini?
Kelantan dianggap sudah meletakkan sebelah kaki ke final manakala Terengganu mempunyai kelebihan tipis selepas masing-masing memenangi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.
Di Stadium Shah Alam, Kelantan membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, malam ini, selepas membenam juara Liga Super musim lepas, Selangor, 5-1.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, tandukan Mohd Ashari Samsuddin pada minit ke-88 membantu Terengganu bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengatasi Pahang 3-2.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu berkelebihan satu jaringan untuk melayan kunjungan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, juga malam ini.
Selepas tanpa jaringan pada separuh masa, Pahang membuka tirai jaringan menerusi Mohd Munir Amran pada minit ke-46 dan R. Surendran pada minit ke-53.
Bagaimanapun, Terengganu tidak berpatah semangat dan menggandakan asakan bertali arus untuk memburu jaringan dengan Mohd Ashari merapatkan jaringan pada minit ke-63.
Wan Mohd Afif Wan Jasni menyamakan kedudukan pada minit ke-81 sebelum Mohd Ashari muncul wira dengan gol kemenangan.
Kini Terengganu tidak mahu lagi peristiwa tahun lalu berulang.
Masih terbayang kesedihan di wajah Irfan Bakti tatkala anak-anak buahnya kempunan untuk merasai nikmat perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.
Ketika itu, rekod gemilang Terengganu dalam pusingan awal Piala FA telah dileburkan Kedah apabila skuad Penyu itu tewas 1-4 pada aksi separuh akhir.
Kekalahan itu sekali gus melenyapkan impian penyokong fanatik Terengganu yang dahaga untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas final selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.
Malam ini, debaran serupa bakal dilalui Irfan dan anak-anak buahnya apabila mereka melayan kunjungan negeri jiran, Pahang bagi melengkapkan aksi separuh akhir kedua.
Beraksi di stadium keramat - Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu itu akan turun berbekalkan kelebihan satu gol selepas menang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan tiga hari lalu.
Andai berjaya mengekalkan kelebihan jaringan, Terengganu akan melangkah ke final Piala FA buat kali keempat pada 11 Jun ini selepas melakukannya pada edisi 1999, 2000 dan 2004.
“Siapa sahaja boleh menang dan saya akui Terengganu mempunyai kelebihan satu gol, namun ini bukan masa terbaik untuk menentukan siapa lebih layak ke perlawanan akhir.
“Kami masih berbaki 90 minit dan tempoh itu perlu disempurnakan dengan sebaiknya oleh pemain-pemain saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambah bekas pengendali Perlis itu lagi, pemain-pemainnya tiada alasan untuk leka biar seminit kerana situasi itu hanya akan menghukum pasukan secara keseluruhannya.
Kelantan pula iaitu juara Piala Malaysia buat kali pertama musim lepas, membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 di Stadium Shah Alam ,Jumaat lalu apabila Mohammad Ramzulzahini merembat masuk bola ke gawang lawan akibat kesilapan penjaga gol Mohd Saiful Amar.
Kelantan terus mempamerkan aksi garang untuk menambah gol kedua pada minit ke-40 menerusi penjaring utama Liga Super, Norshahrul Idlan Talaha, hasil sepakan percuma kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi.
Selang empat minit kemudian, gawang Selangor sekali lagi dibolosi apabila Mohd Badhri pula menyumbat gol ketiga 'The Red Warriors' hasil hantaran lintang daripada pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan Roya.
Pada babak kedua, Kelantan, di bawah bimbingan Datuk M. Karathu, memperkemaskan gerakan untuk menghukum benteng pertahanan Selangor apabila Mohd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-67.
Norshahrul Idlan sekali lagi menambah duka skuad anak didik K. Devan dengan jaringan kelima pada minit ke-71.
Gol saguhati Selangor hadir pada minit terakhir (min-90) yang dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah.
No comments:
Post a Comment