Wednesday, May 4, 2011

Gajah Jadi Tarikan Baru Sektor Pelancongan

Masalah ancaman gajah yang sering menghantui petani di beberapa daerah termasuk di Hulu Terengganu bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri mempunyai perancangan menjadikan haiwan itu sebagai tarikan baru sektor pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, antara perancangan awal yang akan dilaksanakan adalah menyediakan kawasan bagi melepaskan gajah secara liar dan mewujudkan pusat melatih gajah sebagaimana yang ada di Kuala Gandah, Pahang.

“Kerajaan sebenarnya mempunyai perancangan berkaitan gajah ini kerana kalau dilihat di Thailand, haiwan ini mampu menjana pendapatan kepada penduduk kerana ia berupaya menjadi tarikan pelancongan dan kita di sini juga telah pun mempunyai produk tersebut.

“Kita akan mengenal pasti tapak seluas kira-kira 48 hektar sekitar Sungai Ketiar untuk melepaskan gajah secara liar dan kita juga akan menyediakan pagar elektrik di kawasan yang akan dipecahkan kepada empat hektar bagi setiap blok ini. Malah, haiwan itu boleh bermain serta mencari makan hanya dalam kawasan tersebut,” katanya.

Selain itu kata Ahmad, pihaknya juga merancang mewujudkan pusat melatih gajah di kawasan Sungai Telemong berhampiran Pengkalan Gawi melibatkan lokasi seluas sekitar 20 hektar sahaja.

“Kerja awal bagi tujuan ini dijangka bermula antara Jun atau Julai ini dan tidak mustahil kita juga akan menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Besar Terengganu Bersama Ketua-ketua Jabatan dan Kakitangan Kerajaan Daerah Hulu Terengganu di dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), di Hulu Terengganu, kelmarin.

Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan kerjanya ke beberapa lokasi melibatkan kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, DUN Kuala Berang serta DUN Telemong.

Turut mengiringi beliau ialah Yang Dipertua MDHT, Talaha Ali serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment