Harlizan Ibrahim dan Zulfakar Abdullah bersama Badrul Hisham Zaki (kiri) pada sidang akhbar di pejabat UMNO bahagian Kuala Terengganu, Isnin lalu.
Selepas hampir dua tahun hidup sengsara akibat terpedaya dengan janji manis lelaki Lombok, Indonesia, Harlizan Ibrahim, 36, akhirnya pulang ke tanah air semalam bersama anak tunggalnya, Zulfakar Abdullah, 2, untuk memulakan hidup baru.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu kerana membantu membawa beliau dan anaknya pulang ke negara ini.
Misi membawa pulang wanita yang berasal dari Kampung Nibong dekat Kuala Terengganu diusahakan oleh Pemuda UMNO Kuala Terengganu sejak tiga bulan lalu.
“Saya sungguh bersyukur kerana dapat pulang setelah dua tahun empat bulan meninggalkan kampung halaman. Setelah tiga bulan saya ke sana, ayah meninggal dunia…ini menguatkan lagi keinginan saya untuk pulang menemui ibu saya,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu pada Isnin.
Turut menemani Harlizan ialah kakaknya Hartini, 40 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki.
Wanita berkenaan yang jatuh cinta pandang pertama dengan seorang buruh ladang dari wilayah itu, mengambil masa yang panjang untuk kembali ke tanah air kerana enggan pulang tanpa anaknya.
Tanpa restu keluarga, wanita yang membantu perniagaan kedai makan milik keluarganya itu mengikut kekasih yang dikenali sebagai Asitah pada Julai 2009 ke Lombok Barat dengan hanya berbekalkan pasport, visa dan sedikit wang.
Harlizan berkata pemergiannya ke Lombok bermula satelah mengikut pemuda Indonesia itu yang berjanji akan mengahwininya di sana.
Sebelum itu, beliau telah berumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak lelaki berumur antara enam dan 17 tahun namun telah bercerai dengan suaminya. Semua anaknya tinggal bersama bekas suami itu.
“Tanpa memberitahu keluarga, saya ke sana dan setelah tiba di sana, saya memaklumkan kepada keluarga yang saya akan kahwin dengan pemuda itu. Bagaimanapun keluarga anggap itu hanyalah gurauan,” katanya.
Mereka berkahwin setelah dua hari tiba di kawasan pedalaman pulau berkenaan dan suaminya menjanjikan mereka akan membuka perniagaan dan tinggal di sebuah rumah yang besar.
“Bagaimanapun, tanah dan rumah milik keluarganya terjual dan tiada apa-apa lagi untuk kami sehingga suami meninggalkan saya untuk kembali bekerja di Malaysia," katanya.
Harlizan berkata, beliau selalu juga berhubung untuk meminta duit belanja harian dari suaminya namun dari hari ke minggu, suaminya sepi tanpa berita sehinggalah beliau melahirkan Zulfaqar.
Katanya setelah tidak tahan lagi tinggal bersama keluarga suami dan tidak mempunyai wang, beliau mula meminta bantuan pihak berkuasa dengan tinggal di Pati Sosial Budirini iaitu pusat perlindungan ibu dan anak di sana.
Harlizan berkata, beliau cuba untuk membawa pulang anaknya tetapi dihalang oleh pihak berkuasa Indonesia kerana anak itu dilahirkan di sana dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri
Katanya, beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya dan hanya menunggu masa sehinggalah diberitahu melalui telefon oleh kakaknya, ada pihak yang akan membantu membawa beliau pulang ke Malaysia.
Menurut Harlizan, dia terpaksa menjual semua barang kemasnya bagi membiayai kelahiran anak sulung di hospital dan keluarga suaminya pula terlalu miskin untuk membantu sehingga situasi itu membuatkannya cukup tertekan.
“Tiada kata untuk menggambarkan peritnya hidup sehingga saya terpaksa dirujuk dua kali ke hospital sakit jiwa akibat tertekan,” katanya.
Menurutnya, dia sukar untuk pulang sebelum ini kerana masalah dokumentasi kewarganegaraan anaknya.
Sebelum ini, jelasnya, dia membuat aduan mengenai perkara itu di Balai Polis Suranadi sebelum dirujuk ke Pejabat Imigresen Mataram dan kemudiannya ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi membantu proses perceraian dan kepulangannya ke Malaysia.
Sepanjang proses itu katanya, dia ditempatkan sementara di Rumah Kebajikan Ibu dan Anak, Bude Rini, Lombok dan terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak, yang tidak pernah dilakukannya ketika di Malaysia.
Sementara itu Badrul Hisham berkata, walaupun memakan masa yang agak lama, kejayaan membawa pulang Harlizan dan anaknya adalah hasil hubungan yang baik antara Malaysia dan Indonesia.
“Melalui proses rundingan, Harlizan dan anak lelaki akhirnya dibenarkan pulang ke tanah air tanpa dikenakan apa-apa tindakan,” katanya.
Utusan Malaysia/Bernama
No comments:
Post a Comment