Tuesday, May 10, 2011

Golden Pharos Teroka Bidang Pemprosesan Sabut Sawit

Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu, Golden Pharos Berhad (GPB) akan meneroka bidang baru, memproses sabut daripada kelapa sawit untuk dieksport ke China sebagai bahan untuk dijadikan tilam.

Pengerusi GPB Datuk Zubir Embong berkata, syarikat merancang untuk mendapatkan kerjasama daripada sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam bidang berkenaan bagi pengeluaran sabut kelapa sawit itu.

"Di Terengganu terdapat beribu-ribu ekar ladang sawit dan sudah tentu mempunyai sabut yang banyak yang mampu diproses untuk dieksport di mana negara China memerlukan bahan berkenaan dalam kadar yang tinggi," katanya kepada Bernama di di Kuala Terengganu, semalam.

Zubir berkata GPB juga akan menghidupkan semula Kilang Permint Plywood yang sudah ditutup sejak lima tahun lepas dan menggunakan sebahagian kilang itu untuk memproses sabut sawit berkenaan dan mengambil semula pekerja yang diberhentikan dulu.

Beliau berkata buat permulaan antara 30 dan 35 orang bekas pekerja kilang itu akan diambil bekerja dan apabila kilang menambah pengeluaran, pengambilan pekerja akan dibuka kepada penduduk tempatan.

Zubir berkata, bidang baru itu kini masih lagi dalam tempoh percubaan dan setelah berjalan dengan baik kelak, GPB juga berhasrat mengumpul sabut daripada kelapa biasa.

"Di sini kita mahu dapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau orang perseorangan mendapatkan sabut kelapa untuk dijual kepada GPB untuk diproses bagi tujuan eksport ke China," katanya.

Zubir berkata, kegiatan utama GPB adalah pengurusan konsesi hutan dalam bidang pembalakan di mana mengendalikan kira-kira 88,000 hektar kawasan balak yang diberikan kerajaan Terengganu.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dikendalikan oleh Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu iaitu anak syarikat Golden Pharos.

Katanya, balak-balak berkenaan akan diproses sendiri di dua kilang GPB iaitu Pesaka Timber Terengganu Berhad di Bukit Besi dan Pesama Timber Berhad di Kemaman.

Sebanyak 59.4 peratus saham GPB dipegang oleh Terengganu Incorporated Sdn Bhd, menjalankan kegiatan pembalakan, pengilangan papan dan barangan berasaskan kayu, pengilang dan turut menjual panel kaca seni binaan serta pintu kayu.

No comments:

Post a Comment