Tuesday, May 10, 2011

SUKANUN Jana Ekonomi, Pelancongan Terengganu - MB

Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun (Sukanun) yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak Ahad hingga 14 Mei mampu memberi kesan kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ini kerana kejohanan yang melibatkan kira-kira 6,000 atlet itu bukan sahaja mencungkil bakat sukan penjawat awam tetapi juga menjana pendapatan ekonomi peniaga tempatan dalam bentuk pelancongan sukan.

"Kita dapati perniagaan peniaga tempatan di sekitar kawasan kejohanan serta Pasar Kedai Payang (Kuala Terengganu), dipenuhi atlet dan pegawai yang datang untuk kejohanan sukan dwitahunan itu.

"Sukan ini menjurus satu bentuk pelancongan sukan, yang boleh menjana pendapatan kepada peniaga dan penduduk tempatan," katanya ketika merasmikan Sukanun di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT di Kuala Terengganu, malam semalam.

Kejohanan selama seminggu itu melibatkan atlet daripada 70 agensi badan berkanun dari seluruh Malaysia yang menyertai 17 acara sukan.





Katanya, langkah kerajaan negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan pelbagai kejohanan nyata menggembirakan peniaga berikutan mendapat keuntungan berganda.



Katanya, kebanyakan peserta program akan mencari pelbagai produk dan makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, batik dan kain sutera untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

“Apabila situasi ini berlaku, kita menolak andaian segelintir pihak yang menyatakan merugikan duit rakyat dan membazir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sukanun di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu malam tadi (9 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Tetamu kehormat lain, Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UMT merangkap Penasihat Kejohanan, Prof Dr Aziz Deraman.

Seramai 6,000 atlit dan 300 pegawai terlibat dalam 17 acara yang dipertandingan termasuk memancing, tenis, boling padang, tenpin boling, badminton, bola tampar pantai, bola jaring, karom, pencarian harta karun, futsal, ping pong dart tarik tali, perbarisan, bola sepak, sepak takraw dan golf.

Ahmad Said berkata, melalui sukan ini sudah tentu dapat melahirkan lebih ramai atlit yang berbakat dan berdisplin di samping dapat membudayakan sukan sebagai aktiviti yang sihat.

Katanya, melaluinya juga, sikap kerjasama dan bermuafakat antara kakitangan atasan dan bawahan dapat diwujudkan.

“Penganjuran kejohanan yang kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) wajar diterusnya kerana memberi pelbagai kebaikan dan manfaat,” katanya.

Bernama/Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment